Ulang Alik Jalan Kaki 5 Jam, Dinding Sekolah Pun Kayu, Alahai Kesian Pelajar Nie…

Share

Sanggupkah kita berjalan kaki sejauh 5 jam setiap hari ke sekolah? Menahan panas dan hujan demi mencari ilmu.

Bila sampai ke sekolah, itu pun dicelah-celah rumah kedai dan sesekali perlu  duduk bersila di atas lantai buluh. Dinding pun dari material yang sama. Tak ada kipas pun, hanya angin bertiup sepoi-sepoi. Percayalah, kalau kisah ini diketahui di Malaysia, sudah tentu ia menjadi berita viral dan hangat diperkatakan.

Tetapi berbeza situasi ini di Kemboja khususnya di Wilayah Kratie. Gambaran pendidikannya seolah-olah Malaysia kembali ke zaman 70-an dahulu. Terlalu banyak kekurangan tetapi Malaysia nyata memacu jauh pendidikannya demi memberi pendidikan sempurna kepada rakyatnya.

Tetapi di Kemboja, anak-anak kecilnya  khususnya di bawah usia 12 bukan saja perlu berpanas, berhujan malah perlu berjalan sejauh itu setiap hari, semata-mata mahu mendapatkan pendidikan. Tapi itu pun terlalu sukar kerana kurangnya kemudahan tersedia.

Sesekali akan belajar di sini, malah aspek pendidikan dan kemajuan sudah jauh berbeza dengan Malaysia

 

Pelajar ini akan belajar di rumah kedai. Tak perlu kasut pun, cuma selipar saja je sekolah

 

Wajah-wajah ceria pelajar yang menantikan dana wakaf dan sumbangan kewangan dari rakyat Malaysia yang prihatin

Sikap kuku besi dan membunuh cendiakawan semasa pemerintahan Pol  Pot dari tahun 1976-1979 menjadikan Kemboja mundur dari segi pendidikan. Peperangan dengan negara jiran Vietnam pada tahun yang sama memburukkan lagi institusi pendidikan di negara ini.

Terpanggil membantu khususnya dalam aspek pendidikan islam, pengajian bahasa, pengajian sains dan teknologi, sejarah dan alam sekitar serta geografi mendorong 33 orang pelajar dari Universiti Malaya melancarkan Projek Sukarelawan Antarabangsa (Volunteer Internasional Project )Kemboja pada 10-24 Julai 2018  ke negara berkenaan.

Menurut Pengarah Projek Sukarelawan Antarabangsa  atau disebut VIP, Nur Fazila Fazil, 22 berkata, projek ini merupakan anjuran  JKP Kebajikan dan Kemasyarakatan  Kolej Kediaman Kinabalu, Universiti Malaya demi membantu golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah demi mendapatkan pendidikan sempurna.

“Kami memilih tema Learn Today Lead Tomorrow dengan niat untuk  memberikan pendidikan sempurna  kepada anak-anak tidak berkemampuan ini kerana dengan pendidikan sahajalah mampu mengubah masa depan mereka di masa akan datang. Seperti mana yang kita ketahui, pendidikan sempurna dituntut oleh semua negara di dunia dan kanak-kanak ini berhak mendapatnya,” katanya ketika ditemui di Universiti Malaya.

Fazila mengetuai projek sukarelawan VIP ini dan terpanggil untuk membantu kanak-kanak di Kemboja mendapat pendidikan terbaik

 

Inilah barisan AJK tertinggi bagi projek kemanusiaan ke Kemboja

 

Inilah projek sukarelawan yang memerlukan dana wakaf dan sumbangan kewangan bagi menjayakan pendidikan kepada kanak-kanak di Wilayah Kratie, Kemboja

 

Kanak-kanak di Kemboja ini memerlukan sumbangan dana wakat dan kewangan demi pendidikan mereka

 

“Kami memilih Kampung Preksadal, Mukim Preksamann Daerah Chlong, Wilayah Kratie, Kemboja untuk projek pertama ini. Ada kira-kira 1000 orang kanak-kanak miskin yang akan dipilih dalam program ini.

“Tidak hanya dari aspek pendidikan, projek VIP ini juga menyasarkan tentang  peri pentingnya menjaga kesihatan, kemahiran dan kebudayaan,” katanya memaklumkan sukarelawan menyasarkan tempoh dua minggu berada di negara terbabit,” kata pelajar tahun dua Akademi Pengajian  Melayu, UM ini.

Dalam pada itu, Fazila menjelaskan, kedaifan dan kesukaran dalam mendapat pendidikan sempurna khususnya pada usia 12 tahun ke bawah mendorong mereka menjayakan program ini.

“Mereka bukan saja daif tetapi ramai yang tidak bersekolah. Pihak kerajaan hanya menampung pendidikan pada usia 13 tahun ke atas (bagi sekolah menengah sahaja) tetapi jarak terlalu jauh membuatkan ramai yang memilih tidak bersekolah. Begitu juga bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, terlalu sukar mendapatkan pendidikan di sini.

“Bagi menjayakan program ini, pihak kami menyasarkan wang wakaf atau dana dari mana-mana syarikat dan individu yang mahu menyalurkan dana bantuan. Pihak kami memerlukan sekurang-kurangnya RM40,000 bagi membeli barang keperluan seperti buku, pakaian dan sebagainya,” katanya sambil menambah, buat masa ini mereka sedang gigih mengumpul dana dan wang wakaf terbabit.

Beginilah gambaran kampung di Kemboja yang majoritinya penganutnya beragama Islam

 

Tak jumpa pun sekolah begini di Malaysia lagikan tetapi di Kemboja adalah perkara biasa…

 

Bagi yang nak tahu tentang projek ini boleh layari laman web seperti tertera

 

Jelas Fazila lagi, buat masa ini sumbangan khususnya pakaian sudah mula diberi oleh orang ramai yang mahu menjayakan projek amal ini.

“Pihak kami merancang mengadakan garage sales malah boleh dikatakan setiap petang ada jualan nasi kerabu di mana setiap RM0.50 dari keuntungan perniagaan itu dimasukkan ke tabung ini.

“Buat masa ini, kami baru dapat mengumpulkan dana sebanyak RM2,500 satu jumlah yang masih kecil untuk menjayakan program berkenaan yang memerlukan sekurangnya, RM40,000 bagi 1000 keperluan pelajar dan orang kampung di wilayah berkenaan.

Bagi orang ramai, syarikat persendirian yang mahu menyalurkan wang wakaf dan dana pendidikan bagi Projek Sukarelawan Antarabangsa Kemboja ini, boleh salurkan sebarang sumbangan ke akaun CIMB BANK 8001279998  atas nama BENDAHARI UNIVERSITI MALAYA.

Dalam pada itu, Fazila menjelaskan program ini akan menjalin kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar UM, Yayasan SALAM Malaysia, Prof Madya Dr Mariani Md Nor. Malah pelajar tahun dua ini turut mengalu-alukan sumbangan dana wakaf dan dana kewangan bagi menjayakan program yang bakal berlangsung selepas hari raya aidilfitri tahun ini.

Bagi yang ingin mengetahui projek kesukarelawan ini dengan lebih lanjut boleh layari facebook : Volunteer’s Internasional Project, Instagram :@vipkinabalu, twitter: @vipkinabalu.

Mana tahu dana wakaf dan sumbangan ini mampu membantu pelajar ini untuk masa depan mereka yang lebih baik.

Published by
Almaswa Haji Che Ros