Pengendali laman berita dan ulasan politik, Raja Petra Kamarudin menghembuskan nafas terakhir di Manchester, United Kingdom pada usia 74 tahun, malam tadi.

Pemergian Raja Petra atau RPK yang terkenal dengan semangat tegarnya dalam mengulas mengenai isu-isu politik Malaysia serta berita semasa disahkan oleh isterinya, Marina Lee Abdullah berpunca daripada jangkitan dalam darah yang merebak ke paru-paru sebelum menjangkiti pula organ hati.

Menurut portal FMT pula, abang Raja Petra iaitu Raja Idris turut mengesahkan pemergian Raja Petra.

“Dengan rasa dukacita, saya memaklumkan bahawa adik kesayangan saya, Raja Petra Kamarudin baru sahaja meninggal dunia pada jam 11.26 malam waktu UK pada Isnin di Manchester UK,” catatnya menerusi pesanan teks ringkas kepada FMT.

Ulas Politik Hingga Ke Akhir Hayat, ‘Blogger’ Raja Petra Kamarudin Meninggal Dunia Di UK

Sejak beberapa tahun lalu, Raja Petra memilih untuk bermastautin di UK namun tidak meninggalkan minatnya dalam menyuarakan pandangan mengenai senario politik Malaysia.

Anakanda saudara kepada Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini juga tidak menjadikan pengalaman ditahan pada tahun 2001 dan 2008 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai penghalang untuknya terus lantang memberikan pandangan.

Malah sebelum meninggal dunia, Raja Petra menerusi akaun Facebook-nya turut sempat memuat naik satu hantaran video bertarikh 8 September.

Menerusi video itu, Allahyarham bersetuju dengan amaran yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit dengan kes jenayah, mencemarkan nama baik negara atau dihukum oleh mahkamah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI