Setakat artikel ini ditulis, Malaysia masih belum memiliki gagasan politik yang jelas untuk diberikan mandat memerintah kerana setiap satu tidak memiliki cukup kerusi melebih 50 peratus kerusi Dewan Rakyat di parlimen untuk duduk berkuasa.
Barisan Nasional antara parti politik yang terkesan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 semalam apabila parti tersebut hanya mampu memenangi 30 kerusi parlimen sahaja. Kekalahan yang memalukan ini menjadi satu tamparan hebat terutamanya UMNO yang merupakan komponen utama parti tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah bersuara menerusi akaun Twitter
mendesak Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya meletak jawatan.“Assalamualaikum dan Salam Maju Johor. Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah. UMNO dan Barisan Nasional hanya menang 9 kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,” ujarnya menerangkan tentang kerusi yang dimenangi.
Beliau turut menyatakan isu faktor kekalahan tersebut berkait rapat dengan pemimpin berkaliber UMNO, MCA dan MIC yang berpotensi ‘dikorbankan’.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 semalam. Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.
“Kita semua perlu berani membuat perubahan kearah kebaikan demi masa depan Parti ini. Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang,” tegasnya menuntut perubahan positif.
ARTIKEL BERKAITAN: Onn Hafiz Ghazi, Cucu Bekas Perdana Menteri Malaysia Ketiga Dilantik Sebagai Menteri Besar Johor Ke-19
Mengakhiri kenyataan tersebut, beliau yang juga merupakan cicit kepada pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar menggesa agar Zahid Hamidi segera meletak jawatan.
“Dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya YB Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018.
“InsyaAllah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini. Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan InsyaAllah, perjuangan ini akan diteruskan. Semoga Allah SWT merestui dan merahmati perjuangan serta pengorbanan kita semua,” ucapnya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.