Sekali lagi, berita baik bagi Institusi Pengajian Tinggi negara, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini diiktiraf sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.
Pencapaian UMPSA ini meletakkan universiti itu berada di kedudukan ke-3 di Malaysia, sekaligus menjadikan ia universiti nombor satu terbaik di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA adalah sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi dan kini telah pun berusia 22 tahun.
“Indikator yang menjadi kekuatan UMPSA adalah kualiti penyelidikan”
“Pencapaian ini turut membuktikan bahawa UMPSA berada di landasan yang tepat selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memacu kecemerlangan agar setanding dengan universiti terkemuka di dunia amnya dan di Malaysia khasnya,” katanya.
Tambahnya, UMPSA memberikan tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.
Dalam pada itu, THE Young University Rankings 2024 membuat penilaian berdasarkan kualiti penyelidikan (30%), pengajaran (29.5%), persekitaran penyelidikan (29%), pandangan antarabangsa (7.5%) dan pendapatan industri (4%).
Beliau berkata, prestasi cemerlang UMPSA ini juga mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen utuh dari warga universiti dan kerjasama strategik yang produktif bersama pihak industri, agensi, sektor awam, serta tidak ketinggalan, dan alumni.
“UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, UMPSA menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi dan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Termaju (Advanced TVET).
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.