Para pendebat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengharumkan nama institusi hebat itu apabila berjaya bergelar juara bagi dua kategori di pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi yang berlangsung kelmarin.
Bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dua kategori yang berjaya dimenangi oleh pendebat UKM adalah kategori Debat Bahasa Melayu (Utama) dan Debat Bahasa Melayu (Muda).
Menjadikan kemenangan mereka lebih manis, gelaran pendebat terbaik bagi kedua-dua kategori ini turut dimenangi oleh pendebat UKM.
Bagi kategori Bahasa Melayu (Utama), pasukan debat UKM yang berada di kerusi pembangkang telah berjaya mengalahkan pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam sesi debat bertajuk, “Dewan ini akan memberi keutamaan kepada pembinaan tenaga kerja manusia berbanding pembangunan kecerdasan buatan”.
UKM diwakili empat pendebat hebat iaitu Muhammad Iman Azhar, Sharifah Umairah Syed Mustaffa, Muhamad Badrul Naim Mohd Besri dan Hafiz Hafizi Norapendi yang turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
Manakala dalam kategori Bahasa Melayu (Muda) pula, pasukan debat UKM yang diwakili oleh Kasih Aerysa, Muhammad Adli Ikhwan Azli, Abu Bakr’ Abdul Rahman dan Muhammad Farris Suhaimi berjaya mengalahkan pasukan debat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam usul perdebatan “Dewan ini menyokong nasionalisasi syarikat-syarikat telekomunikasi” itu, pendebat UKM Muhammad Farris Suhaimi dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
BACA JUGA: UiTM Terus Unggul! Pasukan Debat Bahasa Inggeris Muncul Juara Peringkat Antarabangsa
Selain kategori bahasa Melayu, kategori Debat Bahasa Inggeris (Utama) dimenangi oleh pasukan debat UiTM manakala bagi kategori Debat Bahasa Arab (Utama) pula di menangi oleh pasukan debat Universiti Malaya.
Menjadikan kejayaan mereka lebih manis, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli dan menyempurnakan upacara penyampaiaan hadiah kepada pemenang.
Sumber foto: Facebook UKM
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.