Universiti Malaya Henti 20 Program Akademik. Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan, Sains Biokesihatan Antara Yang Digugurkan

Share

Saban tahun keperluan pasaran kerja berubah seiring dengan persedaran zaman, skil dan juga relevansi sesebuah pengajian juga mengalami evolusi.  Perubahan yang berlaku turut memberi kesan secara tidak langsung kepada penawaran program pendidikan di universiti.

Terbaharu, universiti terbaik Malaysia, Universiti Malaya telah mengumumkan pemansuhan 20 program akademik dan tidak lagi akan ditawarkan selepas ini. Para pelajar yang ketika ini sedang mengikuti kursus tersebut walau bagaimanapun tidak terjejas dan mereka akan menamatkan pengajian yang telah dimulakan mengikut kohort sedia ada

Menurut Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor menerusi laporan Berita Harian, “Ketika ini, status program pengajian berkenaan tidak lagi menerima pengambilan pelajar baharu, sebaliknya meneruskan kohort sedia ada dengan tempoh tindakannya berkuat kuasa selama dua tahun.”

ARTIKEL BERKAITAN: Terima Biasiswa Berprestij Rhodes Ke Universiti Oxford. Pelajar Perubatan UM Ini Mahu Membasmi Denggi Suatu Hari Nanti

Program akademik yang dihentikan itu membabitkan pelbagai peringkat pengajian. 13 daripadanya merupakan program tidak popular atau memiliki bilangan graduan yang rendah. Manakala tujuh lagi program dimansuhkan berikut penawaran program baharu.

Antara program ayang terlibat ialah Sarjana Muda Sains Bioinformatik, Sarjana Muda Sains (Sains Bahan), Sarjana Muda Sains Biokesihatan, Sarjana Muda Sains Pengajian Sains dan Teknologi, Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan).

Manakala untuk pengajian peringkat sarjana pula ialah Sarjana Pendidikan (Pendidikan Sains), Sarjana Pendidikan (Pendidikan Matematik), Sarjana Pendidikan (Perancangan dan Pentadbiran), Sarjana Kepimpinan Pendidikan, Sarjana Kejuruteraan Sistem Kuasa, Sarjana Sains Perubatan (Fisiologi), Sarjana Penyelidikan Ekonomi dan Sarjana Penyelidikan Pentadbiran Awam.

Menjelaskan proses pemansuhan, Mohd Hamdi berkata, setiap program yang mahu dilupuskan perlu melalui tiga peringkat, iaitu penawaran kohort baharu dihentikan (penjumudan), sebelum dibekukan dan seterusnya dilupuskan.

Selain itu, Universiti Malaya turut mengambil langkah menjenamakan semula 50 program akademik lain. Penjenamaan semula itu melibatkan 26 program ditawarkan dengan nama baharu, 19 digabungkan dengan nama baharu, empat digabungkan dengan nama sedia ada dan satu mod baharu.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

 

 

Published by
Fiezreen