Bermacam-macam pendapat dilontarkan oleh warganet setelah mendapat tahu seorang pelajar perubatan dari Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mendakwa dirinya telah dihalang daripada menduduki peperiksaan.
Nik Farah Ellisha Mohd Razif, 22 mendakwa pihak pentadbiran UM telah menghalangnya pada 8 dan 9 Jun lepas setelah dia gagal menerima suntikan vaksin COVID-19 sebelum tarikh peperiksaan tersebut.
*
Terdahulu, Farah enggan menerima suntikan COVID-19 atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan olehnya. Apabila pihak Universiti Malaya ‘memaksa’ semua calon termasuk dirinya untuk mendapat suntikan sabagai syarat menduduki peperiksaan, Farah akhirnya akur untuk mendapatkan vaksin. Keputusannya itu telah dilapor kepada pihak universiti sekitar bulan April.
Malangnya, Farah tidak berjaya menempah slot temujanji suntikan sebelum tarikh peperiksaan. Farah mendakwa Universiti Malaya kemudian telah menghalangnya daripada terus menjawab kertas peperiksaan tersebut sebelum memintanya meninggalkan dewan.
Sehubungan itu, isu ini mendapat perhatian warganet dan respon di media sosial dilihat bercampur baur.
Ada pihak bersetuju dengan tindakan universiti memandangkan pelajar itu terlibat dalam persekitaran yang berisiko (pusat perubatan). Tanpa menerima suntikan vaksin, dia boleh membahayakan calon peperiksaan serta petugas yang berada dalam dewan yang sama.
Sebelah pihak lagi berpendapat halangan yang dilancarkan oleh Universiti Malaya ke atas seorang pelajar seperti ini adalah tidak wajar. Menurut mereka, tindakan universiti yang memaksa pelajar mendapat suntikan vaksin demi menjawab kertas peperiksaan secara fizikal seharusnya tidak berlaku dan ia seakan menafikan hak seorang pelajar.
Tambahan pula pelajar terbabit merupakan pelajar perubatan. Tentunya dia arif dengan kelebihan dan kekurangan pengambilan vaksin serta memahami risiko yang diambil apabila enggan menerima suntikan COVID-19, pada awalnya.
*
Isu ini memuncak setelah Universiti Malaya dikatakan menolak permohonan Farah untuk menangguhkan tarikh peperiksaannya sementara dia mendapatkan tarikh temujanji suntikan. Pelajar tersebut tidak teragak-agak membuat laporan ke balai polis Daerah Brickfields dan tindakannya itu telah disahkan oleh Ketua Polos Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar.
Kata beliau, kes berkenaan kini dalam siasatan.
Dalam pada itu, Universiti Malaya semalam mengeluarkan satu kenyataan menerusi Pejabat Komunikasi Korporat universiti. Kata pengarahnya, Mohd Khairi Md Jaafar, pihak universiti sedang meneliti perkara ini secara teliti dan terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak terbabit bagi menyelesaikannya. Ia memandang serius laporan polis yang dibuat oleh Farah .
Kenyataan itu turut berbunyi, “Sebagai sebuah universiti yang menerapkan nilai kebersamaan, Universiti Malaya sentiasa berjuang bersama-sama dengan rakyat Malaysia dalam memerangi wabak COVID-19.
“Adalah menjadi tanggungjawab Universiti Malaya untuk menyediakan kampus yang kondusif dan selamat kepada warga kampus dalam berdepan dengan pandemik ini.”
*
Bagi REMAJA, kedua-dua pihak mempunyai rasional di sebalik tindakan masing-masing. Kita biarkan sajalah kes ini untuk disiasat oleh pihak polis dan pihak Universiti Malaya tanpa perlu menokok tambah info yang tidak sahih.
Kepada Nik Farah, kami berharap agar pengajiannya di universiti tersebut akan kekal lancar selepas ini di samping diberikan peluang untuk menduduki kertas peperiksaan yang dimaksudkan.
Untuk menonton video yang telah tular sejak semalam setelah pelajar tersebut membuat laporan polis, klik pautan di bawah: