Tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun ini masih belum diketahui. Namun, rakyat Malaysia rata-rata sudah bersedia untuk menempuhinya, kecuali golongan pengundi muda atau dipanggil sebagai first timer voters ini.
Seperti kebiasaan, saat kali pertama kita melakukan sesuatu, pasti rasa ragu-ragu itu wujud.
“Betul ke cara ni, adakah keputusan aku ini tepat atau apakah hasil daripada tindakan aku?”
Di sebalik ketidak pastian itu, kami yakin ada satu perkara yang akan dipersetujui oleh semua golongan muda tanpa mengira kepercayaan parti. Kami semua sama sekali tidak menyokong politik yang berpaksikan bangsa dan sama sekali tidak menyokong politik yang berpaksikan umur.
* * * * *
Mudah bagi masyarakat untuk menjatuhkan persepsi kepada golongan muda. Kononnya, kami generasi yang disuap, kami tidak tahu erti kepayahan zaman dan kami tidak mengerti apa itu politik dan inti patinya.
Maka, mengapa generasi muda harus ‘kesah’ mengenai hala tuju politik negara? Mengapa mereka perlu menagih perhatian agar suara mereka didengari.
Semua persepsi sempit itu mungkin boleh berkesan 30 atau 40 tahun yang lalu. Kini, golongan muda bukan lagi boleh dianak tirikan apabila tiba masa untuk meluahkan hasrat dan pendapat mereka.
Artikel Berkaitan: 6 Langkah Di Pusat Mengundi Untuk First Timer
Salah satu daripada hasrat tersebut adalah untuk melihat hentinya sentimen umur dan bangsa ketika masyarakat memilih teraju negara tidak lama lagi melalui Pilihan Raya Umum 2018.
Ahli politik muda daripada kedua-dua cabang Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) pada amnya menyokong cadangan agar sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan dilakukan secara terbuka, tulus dan centralized.
Namun, apabila tiba masa untuk menghentikan politik yang bersifat umur dan bangsa, semua orang berdiam diridan mengundur ke belakang. Kata mereka, ahli politik muda tidak mempunyai kuasa dan hak untuk berdepan dengan ombak majoriti senior yang sudah terbiasa dengan sentimen umur dan bangsa.
Apa saja masalah yang dihadapi, umur dan bangsa akan diungkit dulu. Demi memancing undi, umur dan bangsa dijadikan faktor utama. Sampai bila strategi lapuk umur dan bangsa ini akan diteruskan jika kita ingin melihat negara berkembang; bukan saja dari aspek pembangunan fizikal tetapi juga dari aspek mentaliti individu serta masyarakat.
Eksko pemuda UMNO, Rahman Husin pernah berkata, politik bersifat bangsa adalah hasil daripada sistem supply & demand.
Dalam bahasa mudah, jika masyarakat di sesuatu kawasan majoritinya adalah dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang sama, maka figura pemimpin yang akan tercalon juga haruslah seiring dengan identiti masyarakat. Bukannya disebabkan kebolehan dan perwatakan kemimpinan yang ada.
Syed Saddiq Abdul Rahman pula berkata institusi politik Malaysia harus terlebih dahulu dibebaskan daripada konkongan umur mahupun bangsa. Dalam dialog bersama Sinar Harian bulan lalu, Syed Saddiq berpendapat politik Malaysia masih mampu melihat gabungan pemimpin berpengalaman dan pemimpin baru.
Namun, sekiranya tampuk kepimpinan parti pembangkang juga masih dipelopori oleh pemimpin berusia 93 tahun (Tun Mahathir), Datuk Seri Dr Wan Azizah (64), Datuk Seri Anwar Ibrahim (70) mahupun Lim Kit Siang (76), peluang untuk melihat suara dan pengaruh golongan muda dalam kepimpinan negara dilihat amat samar.
Mahu atau tidak, kita harus akui bahawa sukar untuk golongan pemimpin senior menukar corak pemikiran dan cara pentadbiran. Sama ada BN mahupun PH, kedua-duanya enggan mengubah formula pentadbiran lama.
Terma ‘berubah’ dalam hal ini bukan setakat mengubah tampuk kepimpinan negara. Namun, golongan muda ingin melihat perubahan yang lebih mendalam. Mampukah kerajaan yang akan datang meninggalkan formula lapuk politik umur dan bangsa di mana mereka tidak lagi memisahkan kepentingan dan keperluan rakyat berdasarkan kategori?
Mampukah? Sebagai pengundi muda, kamu mampu mencorakkan perubahan tersebut pada Pilihan Raya Umum kelak.