Awal Muharram adalah hari penting bagi umat Islam kerana pada tarikh ini berlakunya penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.
Banyak kejadian-kejadian penting terjadi dalam bulan Muharram ini termasuklah Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan 1 Muharram adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (kalender Hijrah). Jika di zaman sekolah dahulu, kita diajar bahawa segala buka-buku amalan iaitu dosa dan pahala yang kita lakukan selama setahun diangkat ke langit untuk disimpan sebelum dibuka semula pada hari akhirat.
Jika Awal Muharram begitu penting, ada lagi hari penting dalam bulan Muharram yang wajib umat Islam faham dan ambil tahu iaitu 9 dan 10 Muharram atau disebut sebagai Hari Asyura di mana kita digalakkan untuk berpuasa.
Peristiwa berpuasa sunat ini dapat dilihat bila mana Rasulullah SAW sewaktu berhijrah ke Madinah di mana Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Namun bagi membezakan umat Islam dengan orang Yahudi maka Nabi mengajar kita berpuasa pada 9 Muharram atau disebut hari Tasu’a.
Kelebihan berpuasa pada 9 & 10 Muharram atau jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu iaitu pada 28 & 29 Ogos ini turut dinyatakan dalam beberapa hadis sahih.
Hadis sahih
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: “Seafdal-afdal puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa dalam bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat 1/3 malam.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
Kata Ibnu Abbas r.a.: “Tidak pernah aku melihat Nabi SAW menanti-nanti puasa pada suatu hari yang diutamakan lebih daripada hari lain kecuali hari ini, iaitu ‘Hari Asyura’ (10 Muharram), dan bulan puasa iaitu Bulan Ramadan.” (Riwayat Imam Bukhary dan Imam Muslim)
Malah dalam mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadan.
Malah dalam sebuah hadis riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.
Nabi SAW bersabda: “Tidak hanya manusia meraikan Asyura dengan puasa bahkan haiwan pun berpuasa. Di antara haiwan yang disebut berpuasa pada hari Asyura adalah burung ashurad, semut dan binatang buas.” (Riwayat Abu Musa al-Madini, al-Fath dan al-Khatib).
KELEBIHAN PUASA ASYURA'
Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.
Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat.
Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh umat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."
Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Asyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Asyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Asyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s pada hari Asyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Asyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura !".
Ini niat bagi yang nak berpuasa ya. Hari Asyura akan jatuh pada hari Sabtu tapi adalah lebih baik kalau kita buat dua hari iaitu bermula esok, Jumaat membawa ke Sabtu.