Tular di media sosial apabila sebuah portal berita tempatan memuat naik berita tentang graduan yang mendakwa bahawa ijazah doktor falsafah (PhD) yang diterima di Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak diiktiraf di luar negara.
Seorang graduan yang dikenali sebagai Saed Jnaidi dari Palestin berkata dia memperolah PhD program Komunikasi Massa itu selepas menamatkan pengajian di UPM pada tahun 2019. Namun, semuanya terbongkar apabila PhD tersebut belum diakreditasi oleh Kerajaan Malaysia ketika dia memohon visa untuk membolehkannya mendapat tahap orientasi satu tahun di Belanda.
Hal ini telah mendapat perhatian Univeriti Putra Malaysia dan pihak universiti juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman Facebooknya berkenaan dengan isu ini.
UPM menafikan dakwaan bahawa Ph.D UPM tidak diiktiraf di luar negara seperti yang tersiar di media tersebut.
Jelas mereka, UPM telah mendapat penganugerahan status Swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2010 dan telah diberi status autonomi untuk melaksanakan proses akreditasi ke atas semua program akademik yang ditawarkan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
UPM menegaskan bahawa skrol yang yang diterima graduan berkenaan adalah tertulis sebagai Doctor of Philosophy sahaja, seperti yang bertarikh 9 April 2020, iaitu bukan PhD Komunikasi Massa seperti yang didakwa. Program Doctor of Philosophy adalah program yang telah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.
Merujuk kepada dakwaan Pusat Jaminan Kualiti (CQA) UPM belum menghantar senarai program ke MQA untuk pendaftaran, UPM ingin menjelaskan bahawa senarai program yang akan dihantar tersebut adalah untuk pendaftaran bidang baru Master dan PhD mengikut National Education Code (NEC).
Namun, untuk pelajar berkenaan, pendaftaran program beliau adalah program yang telah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.
UPM juga menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa komited dalam memastikan program akademik yang ditawarkan telah mendapat akreditasi dan kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ditawarkan kepada calon pelajar sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Diharap penjelasan ini dapat memberi pencerahan atas segala salah faham yang berlaku.