Beberapa tahun lalu, nama Adam Adli sering disebut-sebut apabila sentiasa muncul di kaca televisyen negara kita. Adam Adli Abd Halim merupakan seorang aktivis pelajar muda yang sebelum ini beberapa kali ditahan (terutamanya ketika pemerintahan kerajaan sebelum ini) dan didakwa kerana kelantangan suaranya yang dianggap sebagai hasutan.
Dan akibat daripada kejadian tersebut, dia telah digantung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Namun terbaru, Mahkamah Rayuan telah membebaskan Adam Adli daripada tuduhan menghasut berikutan ucapan yang dilakukannya beberapa selepas Barisan Nasional menang pada PRU 2013.
Menurut UPSI, pihak universiti telah dimaklumkan oleh Pejabat Peguam Negara bahawa mahkamah telah membersihkannya daripada salah laku. Sehubungan dengan itu, pihak UPSI menyatakan bahawa penggantungan terhadapnya telah dibatalkan dan dibenarkan untuk menyambung pengajian bermula 10 September 2018.
Adam turut membuat perkongsian berita gembira tersebut di Twitter dan Facebook dengan kapsyen, “Belum buat keputusan lagi. Doakan yang baik-baik.”
Jelas Adam menerusi laporan Malaysia Insight, “Saya tak jangkakan surat ini. Saya berasa terharu. Saya berasa bersyukur. Saya dan seluruh keluarga semua rasa cukup gembira. Mungkin inilah keajaiban Ramadan saya.”
Adam Adli merupakan aktivis pelajar yang sebelum ini sentiasa lantang bersuara dan memimpin bantahan pelajar mengenai pelbagai isu seperti Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Akta tersebut dilihat oleh ramai orang termasuklah Adam sebagai usaha menutup ruang untuk pelajar untuk bersuara.
Semoga Adam Adli terus berjuang untuk menjadi suara anak muda yang sentiasa melakukan semak imbang kepada kerajaan. All the best!
Sumber: SINAR HARIAN
Kembali Ke Pejabat Atau Letak Jawatan, ELON MUSK Arah Tiada Lagi WFH
Disebalik personaliti luarannya yang ceria lagi mesra di khalayak ramai, ada juga ketegasan dalam diri Ketua Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk.
Lapor Reuters, beliau telah mengeluarkan arahan agar semua pekerja syarikatnya itu kembali bekerja sepenuh masa di pejabat ataupun bersedia untuk meletakkan jawatan sekiranya degil.
E-mel yang dilayangkan kepada kakitangannya itu berbunyi, “Semua orang di Tesla dikehendaki berada di pejabat minimum 40 jam seminggu. Jika anda tidak hadir, kami menganggap anda sudah meletak jawatan.
“Lebih lama anda bekerja di sini, lebih kerap kehadiran anda diperlukan,” catatnya.
Elon turut berkongsi sebab utama dia menetap di kawasan kilang Tesla adalah agar mereka yang datang bekerja dapat melihatnya sama-sama berada di situ. Jika beliau tidak melakukannya yang sedemikian yakni memantau pekerja dari jarak dekat, beliau berpendapat sudah lama Tesla bangkrap.
Untuk pengetahuan korang, firma teknologi utama di Silicon Valley seperti Tesla di sana asalnya tidak mewajibkan pekerja untuk kembali ke pejabat sepenuh masa demi mengurangkan risiko kebangkitan kes COVID-19 di California.
Biarpun Tesla telah memindahkan ibu pejabatnya ke Austin Texas, pangkalan kejuruteraan Tesla dan salah satu kilangnya masih beroperasi di kawasan teluk San Francisco,
Hmm, korang setuju dengan tindakan berbaur paksaan oleh Elon Musk ini demi meningkatkan produktiviti kerja di Tesla ataupun ia dianggap sebagai resepi merebaknya wabak COVID-19 di sana?
ARTIKEL BERKAITAN : Bekas Pelajar MRSM Fakhirah Khairuddin Kini Bergelar Jurutera Di TESLA – REMAJA
KEMASKINI
Beberapa hari setelah arahan untuk kembali ke tempat kerja ini, laporan terbaru Reuters memberitahu bahawa satu lagi e-mel telah dilayangkan kepada kakitangan pada Jumaat lalu di mana Tesla difahamkan akan mengurangkan 10 peratus jumlah kakitangannya. Tempoh waktu bekerja pula akan ditingkatkan sementara pengambilan baharu di seluruh dunia akn dihentikan buat sementara waktu.
Ini berikutan amaran bakal berlaku risiko kemelesatan ekonomi di Amerika Syarikat dan di peringkat global. Inflasi di Amerika sahaja sudah mencecah paras tertingginya dalam tempoh 40 tahun.
BACA LAGI : Jokowi Selangkah Lebih Pantas Daripada Ismail Sabri, Telah Ke SpaceX Temui Elon Musk – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Berkorban Jaga Ibu Sudah Tua, Doktor Muda Ini Akhirnya Dijemput Illahi Selepas Terlibat Kemalangan Maut
Penrgorbanan seorang anak yang sanggup berulang alik sejauh 160 km sehari dari Kajang menuju ke tempat kerjanya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah setiap hari kerana mahu menjaga ibunya yang sudah uzur berakhir dengan penuh kesyahduan dan kesedihan buat seluruh ahli keluarganya. Allahyarham Naim Zafri, 26 tahun yang maut dalam kemalangan dua buah kereta awal pagi tadi bermilih berkorban menjaga ibunya kerana dirinya selepas bapanya meninggal dunia
“Jasa arwah adik menjaga ibu akan kami kenang selamanya dan kami reda atas pemergiannya, ALLAH SWT lebih sayangkan adik,” kata Mohd Fahmi Che Yusoff, 33, ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, semalam.
Mohd Fahmi adalah anak keempat dari enam beradik, abang kepada mangsa, Naim Zafri, 26, terbabit dalam kemalangan maut pada jam 5.50 pagi di Kilometer 21 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kampung Ulu Bendul di sini.
Menurutnya, Naim Zafri adalah seorang doktor pelatih di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) kerap berulang-alik dari Kuala Pilah ke Kajang untuk menjaga ibunya yang kini tinggal sendirian.
“Sebelum ini arwah tinggal di rumah sewa di Kuala Pilah tapi selepas ayah meninggal Julai tahun lalu arwah terpaksa berulang alik sebab kesian dengan keadaan ibu tinggal seorang diri.
“Kami adik-beradik memang selalu nasihatkan dia, tidak terlalu kerap berulang alik bimbang akan keselamatannya, tambahan pula bebanan kerja yang perlu diharungi setiap hari,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga pernah menyatakan kebimbangan atas keselamatan anak bongsu itu sebelum dijemput Ilahi dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Kami pun boleh jenguk ibu tetapi dia tetap bertegas untuk menemani ibu, memandangkan dirinya masih bujang serta tiada komitmen lain.
“Arwah seorang adik dan anak yang baik, selalu mengutamakan ibu dan ahli keluarga. Kehilangannya pasti amat dirasai tambahan pula tidak lama lagi hendak sambut Ramadan dan Aidilfitri” katanya.
Menurut Mohd Fahmi, meskipun berasa amat sedih atas kehilangan adiknya itu namun mereka sekeluarga reda.
“Insya-ALLAH, jenazah adik di bawa ke Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang untuk dikebumikan selepas solat Asar,” katanya.
Tersepit 20 minit
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera serta EMRS bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan jam 5.57 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa tersepit di antara bahagian tempat duduk pemandu dan stereng kereta sehinggakan kami terpaksa memotong pintu pemandu dan ‘dashboard’ kereta menggunakan peralatan khas dan bomba mengambil masa 20 minit untuk keluarkan mangsa.
“Pegawai perubatan sahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya ,” katanya.
Eva Saifun berkata, mangsa lain turut terlibat yang menaiki kereta Exora dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke HTAN.
Dua kereta bertembung
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu Naim Zafri dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dinaiki Muhammad Azim Kamaru-zaman, 26.
“Mangsa (Naim Zafri) dipercayai memandu dari arah Seremban menghala Kuala Pilah sebelum bertembung kereta dipandu Muham-mad Azim beralamat Taman Jemapoh Murni Kuala Pilah.
“Pertembungan itu mengakibatkan Naim Zafri maut di lokasi kejadian dipercayai parah di kepala dan patah kedua-dua tangan serta kaki manakala Muhammad Azim yang luka di dahi dan anggota badan dibawa ke HTAN untuk menerima rawatan selanjutnya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke HTAN untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pertembungan kereta itu di tengah-tengah jalan hingga mengakibatkan kesesakan sepanjang tiga kilometer,” katanya.
Sumber :- SINAR HARIAN
Perincian Wajah Pocong Dalam Munafik 2 Adalah “Real” Di Alam Ghaib?, Orang Ada “6 Sense” Kongsi Pengalaman
Nampaknya dalam tempoh beberapa hari tayangan, filem Munafik 2 terus mendapat sambutan penonton. Filem ini dilaporkan sudah mengutip RM5.65 juta setakat hari pertama tayangan dan jumlah kutipan tiketnya semakin meningkat. Sebelum ini Hantu Kak Limah mencatat rekod dalam kutipan filem Melayu apabila jumlah kutipannya mencecah RM35 juta dengan jumlah penonton seramai 2.7 juta orang.
Nampaknya minat dan mood orang menonton filem Melayu memberikan kesan baik kepada industri perfileman yang awal tahun ini bermula dengan suram. Perkongsian dari seorang doktor gigi ini di fb miliknya, SenyumanPerantau SP boleh membuatkan filem Munafik 2 ini ditonton lebih ramai orang.
Dakwah yang ingin disampaikan oleh pengarahnya, Shamsul Yusof ternyata berjaya dalam filem ini. Jom baca.
Ulasan Filem Seram: Munafik 2
Tiga perkataan aku gulungkan ringkas filem ini; seram menyesakkan nafas, padat nasihat dan elemen dakwah menarik.
Kelebihan Filem Munafik 2
- Elemen seram yang dibawakan Shamsul, aku suka. Tidak adil mengatakan Shamsul mencedok idea filem-filem lain, sebab fizikal dan raut wajah hantu adalah berlainan dan lebih “ketimuran”.
Solekan hantu juga agak mantap dan tidak terlalu nampak “fake” kecuali hantu budak kecil perempuan yang agak lucu (pendapat peribadi aku).
Satu lagi, aku suka perincian wajah pocong yang sangat mantap dan jelas. Kawan aku yang mempunyai keupayaan deria keenam memberi komen, “Pocong Shamsul nampak macam betul-betul dan…..”
Aku tak habiskan sebab aku dok sorang malam ni. Sekian. Haha.. Untuk elemen seram ditambah dengan waktu yang sesuai, latar bunyi yang sesuai, latar tempat melengkapkan lagi elemen seram filem ini. Tahniah!
- Mesej dan sarat unsur dakwah
Kepada sesiapa yang mengikuti filem seram arahan Shamsul, akan tahu transformasi filemnya. Khurafat nampak kepada lebih filem seram biasa tanpa mesej atau terlalu sedikit mesejnya. Manakala filem Munafik, Shamsul mula menyelitkan unsur dakwah halus tetapi agak ringan dan santai. Untuk Munafik 2, Shamsul Yusof lebih bijak dan pandai dalam menyalurkan dakwah dan unsur mesej yang perlu diketengahkan.
Mesej yang dibawakan Shamsul adalah secara maksima tapi tidak meleret dan membosankan. Penggunaan dalil Al-Quran dan maksud tafsirnya yang mendalam dapat dihayati dan boleh mengalir air mata jika dihayati sempurna.
Itu aku kata filem ini agak berat. Aku ringkaskan kepada filem ini, “Mengingatkan diri kita dengan tuhan, dan jangan alpa dengan tanggungjawab kita sebagai khalifah dan makhluk tuhan.”
Elemen kemurungan dan depression juga ada diselitkan dalam cerita ni. Sebagai penghidap MDD, air mata aku juga bergenang dengan selitan halus.
Babak apa dan di mana? Yang tu korang kena tonton!
- Lakonan Mapan, Kemas dan Penghayatan Watak yang Baik.
Barisan pelakon boleh dikatakan semua mapan dan jitu. Lakonan Shamsul Yusof juga lebih bagus dan tak nampak kaku jika dibandingkan dengan Khurafat dan Munafik. Jika dalam Munafik, mesej tersirat dibawa oleh watak Maria, kali ni pembawaan watak Maria Karin sebagai Sakinah cukup memberi kesan. Lakonan adik perempuan (tak tahu nama) sebagai Aina juga wajar dipuji.
Jika anda peminat setia bakat lakonan Maya Karin dalam Ombak Rindu atau Pontianak Harum Sundal Malam, anda kena tonton filem ini. Kerana apa? Pendapat aku, lakonan Maya Karin dalam filem ini adalah berganda-ganda penghayatannya jika dibandingkan dua filem terkenal Maya Karin.
Yang lain aku malas ulas panjang, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz dan Dato Rahim Razali memainkan peranan masing-masing dengan sempurna. Untuk Mawi, lakonannya ok-ok dan boleh diperkemaskan lagi. Pendapat aku hanyalah untuk lakonan. Untuk bacaan ayat Quran dan sebutan ayat suci, suara Mawi memang excellent!
- Latar Tempat
Semua latar tempat dipilih kemas dan diatur sempurna untuk menambah elemen seram selain wajah-wajah hantu buruk dan mengilai menjerit. Aku suka latar tempat di sungai tengah malam buta atas perahu. Sumpah meremang! Terbaik!
Kekurangan Munafik 2 (Teguran ikhlas)
- Bunyi kuat dan membingitkan kadang-kadang agak mengganggu dan membosankan. Sekali-sekala bunyi itu membantu dalam menambahkan keseraman.
Tetapi, perlu diingat, jika bunyi yang diguna terlalu kerap, ia seakan membantu penonton meneka bila seram berlaku dan seolah memaksa penonton untuk “jadi takut.”
- Plot yang tidak penting atau kurang faham.
Ada beberapa plot yang disediakan seolah-olah tidak habis dan tidak puas. Sebagai contoh, lakonan Weni Panca sebagai jin berbahasa Indonesia. Ya. Jin boleh mengganggu hidup manusia. Tapi untuk filem, tak salah untuk memberi penonton sedikit tentang asal jin dan punca jin itu wujud.
Sebab dalam cerita ini terlalu banyak gangguan sehinggakan penonton sedikit keliru terutama jika penonton yang jenis mahu dipimpin ketika menyusuri filem. Kadang-kadang terlalu menyorokkan plot juga tidak elok. Kelebihan dan kekurangan dah aku ulas berdasarkan pendapat peribadi aku.
Babak Kegemaran SP
Aku suka babak Ustaz Adam nak melintasi mayat-mayat berkelubung putih tu.
Tak perlu tunjuk muka hodoh tapi sudah cukup buatkan bulu roma aku merinding. Babak pegang pelita tu pun aku suka. Asli dan segar idea seram tu.
Babak yang aku agak kurang gemar/ tidak bersetuju.
Babak memecahkan keranda, hehe. Macam Captain America pulak.hehe.
Pelakon kegemaran aku dalam ni, Abu Jar dan Fauzi Nawawi. Napok jahak sungguh boh, segho nok masuk daley filem bergocoh sekali
__________________________
Akhir kata, aku bagi 4 bintang dari 5 secara keseluruhan. Kalau orang filem mengatakan, Hantu Kak Limah membawa mesej mendalam secara santai, filem Munafik 2 membawa mesej dan analogi yang agak berat tetapi disulamkan dengan elemen seram.
Pendapat peribadi aku, aku lebih suka filem Munafik 2 jika dibandingkan Hantu Kak Limah. Aku setuju dengan pendekatan dakwah Shamsul. Kalau buat filem agama semata, ada yang nak tengok?? Ada. Tapi agama 10 peratus, 90 peratus lagi cinta!
Akhir kata, tahniah Shamsul Yusof kerana membuka mata bahawasanya, dakwah juga boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk, tidak terhad kepada ceramah agama semata-mata.
Maaf jika ulasan di atas ada mengguris perasaan mana-mana pihak, ini adalah teguran dan pendapat peribadi semata-mata. Nasihat aku, korang kena datang dan tonton filem ini. Sarat pelbagai emosi ketika menonton. Sedih, marah, takut gila-gila, insaf, murung dan macam-macam lagi la!
Sapa tak tengok, dia rugi!
Senyuman Perantau SP
Doktor gigi yang meminati elemen seram
__________________
Ps: Ramai juga penonton berbangsa Cina dan India tadi, menonton bersama. Maksudnya filem ini tak terhad kepada yang beragama Islam sahaja. Siap ada yang melompat lagi bila hantu keluar. Hehe.
Ini bukan hantu melayu, sebab kaum lain pun boleh terima dan datang tengok.