Kebelakangan ini, platform media sosial semakin ‘panas’ digunakan sebagai lubuk mencari wang tunai dalam kalangan remaja di Malaysia dengan cara menayangkan aset fizikal.
Pelbagai tingkah laku mengghairahkan, tidak senonoh dan merendahkan maruah sanggup dipertontonkan oleh remaja semuda usia belasan tahun demi mengumpul views bagi menjana pendapatan.
Bukan satu dua saja platform yang dipercayai menawarkan pendapatan sebegini rupa di platform digital sekarang. Malah semakin banyak platform yang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hari hujan. Di sana, mereka dilaporkan mengumpul pendapatan melalui pemberian hadiah daripada penonton semasa siaran langsung sesi mereka. Hadiah tersebut kemudiannya ditukarkan kepada bentuk wang Ringgit.
Biarpun ia dilihat menjadi trend negatif yang kini tular, semakin ramai pula remaja tidak kira lelaki ataupun perempuan yang berani menayangkan tubuh badan dan melakukan perkara tidak senonoh secara bersendirian mahupun bersama rakan lain yang berada dalam sesi tersebut sebagai ‘admin’.
Bagaimanapun, jika ada yang sedang terfikir-fikir untuk mencuba cara ini – korang boleh lupakan niat itu.
Ini kerana individu yang berkongsi video aksi lucah atau perbuatan jelik di media sosial sekarang boleh disiasat Sekseyn 292 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233, Akta Komunikasi & Multimedia Malaysia (AKMM) 1998. Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan kepada portal Majoriti, tindakan menyebarkan bahan lucah walaupun pelaku dalam video atau foto tersebut membabitkan orang lain adalah salah di sisi undang-undang.
“Jadi apa-apa pun perbuatan dia yang jatuh kepada elemen jelik, lucah dan menimbulkan kegusaran masyarakat, contohnya macam dia pakai baju tapi tak pakai pakaian dalam, kemudian dia buat aksi menghairahkan macam pegang pisang kemudian jilat seperti perlakuan orang seks, maka kita boleh siasat di bawah AKMM,” katanya.
Sekiranya didapati bersalah, Akta 292 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 233 AKMM memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Bukan setakat itu, sekiranya aksi ghairah di media sosial itu menjadi ikutan kanak-kanak, ia juga juga boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, atas kesalahan pengantunan kanak-kanak.
Lebih serius lagi sekiranya bahan lucah itu membabitkan kanak-kanak bawah umur, pelaku dan penyebar boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 untuk kesalahan penyebaran pornografi kanak-kanak.
Haa, masih terasa hendak membuat perbuatan tidak senonoh demi menjana pendapatan. It just is not worth it.
Nasihat Siti Kamsiah lagi, orang ramai yang melihat siaran langsung tersebut dan ingin melaporkan kepada pihak polis perlu menyerahkan rakaman tersebut sebagai bukti kerana video live di sesetengah aplikasi akan hilang setelah ia tamat.
Sumber : (1)
ARTIKEL BERKAITAN : Scam ‘Jadi Model’ Antara Penyebab Foto Tidak Berbaju Tersebar
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.