Usain Bolt Kena Godam, Hilang Simpanan Persaraan Hidup Bernilai Lebih RM50 Juta

Share

Skim penipuan wang atau money scam ternyata tidak mengenal mangsa.

Jaguh pecut dunia, Usain Bolt dilaporkan menjadi mangsa terbaru dan terperangkap dalam skim penipuan firma pelaburan swasta di negara kelahirannya, Jamaica.

Mengikut laporan Bloomberg, peguam Linton P. Gordon yang mewakilinya berkata akaun simpanan Bolt yang sebelum ini menyimpan jumlah keseluruhan US$12.8 juta (sekitar RM54.5 juta) kini hanya berbaki US$12,000 (kira-kira RM51,546) sahaja! Dalam erti kata lain, Bolt dilaporkan kehilangan lebih daripada US$12.7 juta daripada simpanannya!

Sumber Gambar: Eurosport

Tambah malang lagi, akaun tersebut difahamkan merupakan sebahagian daripada simpanan wang persaraan hidup Bolt setelah dia memutuskan untuk tidak lagi bertanding sebagai pelari pecut profesional sejak tahun 2017.

ARTIKEL BERKAITAN:

Berjaya Padam Rekod Dunia Usain Bolt Seketika, Noah Lyles Luah Rasa Kecewa

“Sekiranya ini betul, maka ia adalah satu penipuan serius yang telah dilakukan terhadap anak guam kami,” kata peguam Bolt dalam surat yang dihantar kepada firma pelaburan yang berpangkalan di Kingston, Jamaica itu.

Di laman sesawang syarikat guaman itu, mereka turut meminta pelanggan melakukan pertanyaan segera kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica yang sedang menyiasat firma pelaburan berkenaan.

Sekiranya wang tersebut tidak dikembalikan dalam tempoh 10 hari, firma pelaburan itu bakal berdepan dengan dakwaan jenayah dan sivil.

Peguam Bolt telah menghantar surat berkenaan Isnin lalu iaitu pada hari sama Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica mengumumkan pelantikan juruaudit khas untuk meneliti dakwaan penipuan.

Buat masa ini, wakil dari firma belum memberi apa-apa maklum balas.

Pada hari Selasa pula, pihak berkuasa kewangan Jamaica memaklumkan ia telahpun mengambil alih pengurusan syarikat pelaburan swasta itu sementara siasatan dijalankan.  Firma pelaburan itu masih boleh meneruskan beroperasi namun memerlukan kelulusan kerajaan untuk melakukan sebarang transaksi.

Foto Via Indiatimes

Kes penipuan melibatan akaun Usain Bolt ini telahpun tular di seluruh Jamaica sehinggakan Menteri Kewangan negara itu, Nigel Clarke menyifatkan kes ini sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.

Maklumlah, Bolt merupakan figura popular yang telah membanggakan Jamaica di kejohanan antarabangsa sepanjang beliau masih aktif sebagai atlet kebangsaan.

Merisaukan, bukan!

BACA : Semak Sebelum Beli Emas Online, Jangan Jadi Mangsa Scammer Barang Kemas

Kita yang berada di Malaysia juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam urusan jual beli agar tidak diperdaya dengan tipu muslihat penjenayah.

Sama-sama kita saling mengingati agar melindungi diri daripada apa-apa aktiviti mencurigakan yang melibatan transaksi kewangan terutamanya dalam talian.\

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana