“Bapanya buka ikatan yang membalut jenazah Ain. Usap lama-lama di mukanya sebelum menangis dalam tempoh agak lama. Setiap orang yang datang menziarahi dan menyalaminya, bapanya akan kembali menangis. Memang sedih lihat keadaannya. Maklumlah, arwah anak sulung dari tiga beradik. Kami sebagai kawan juga berasa sebak menyaksikannya,” kongsi Nurul Fatini binti Omar yang juga rakan kepada allahyarham Norsya’Baniah Norhisham, 20 yang meninggal dalam kejadian pagi semalam di Tol Batu 3, Shah Alam.
Jelas pelajar Universiti Putra Malaysia ini, dia bersama dua lagi rakannya selain guru yang pernah mengajar arwah ada datang menziarahi jenazah buat kali terakhir di rumah neneknya di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum pelajar Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz, ShahAlam ini dikebumikan malam semalam.
“Kami memanggil arwah dengan nama Aien Kechik. Kami dulu satu sekolah di SMK Sheikh Haji Ahmad Said, Seremban,” katanya memaklumkan seorang lagi kenalannya, Azeatul Syarina adalah kawan yang paling rapat dengan arwah.
“Kali terakhir mereka bermesej petang sebelum arwah balik ke Kuala Lumpur. Azie ada bergurau dengan arwah Ain minta hadiah hari jadinya yang jatuh bulan Februari akan datang tetapi arwah memaklumkan dia tak ada duit. Itulah mesej akhir mereka,” katanya ketika dihubungi.
Tol Batu 3 Shah Alam yang ditutup awal tahun ini mencatatkan tragedi pertama apabila dua remaja maut dalam satu kemalangan yang berlaku awal pagi semalam.
Dua remaja berkenaan, Muhammad Azki Dahlan Jamit, 21 dari Batu 20, Kampung Padang Sungai Congkak, Hulu Langat dan Norsya’Baniah Norhisham, 20 dari Taman Pinggiran Pedas, Pedas Negeri Sembilan ditemui meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlanggar tembok plaza tol berkenaan dalam kejadian awal 6.30 pagi.
Pemandu kereta kancil, Muhammad Azri Dahlan Jamit, 23 yang merupakan abang kepada allahyarham Azki berada dalam keadaan kritikal dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tembok berkenaan. Kereta kancil ini datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke arah Klang.
Dalam pada itu, laporan akhbar semalam menyebut, bapa kepada arwah Ain, Norhisyam Jailani, 47 tahun telah menerima satu panggilan telefon bersuara tenang sekitar tengahari hari kejadian namun menyangka panggilan itu adalah sebuah prank untuknya.
“Namun segalanya berubah apabila anggota polis berkenaan memaklumkan anak perempuan sulungnya itu telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tersebut. Malah beliau sekeluarga telah bergegas menuju ke Hospital Shah Alam dan berharap berita yang disampaikan tadi tidak benar.
“Jantung saya seperti hendak luruh bila menyaksikan jenazah anak terbaring kaku. Terlalu sedih untuk diperkatakan,” katanya.
Dalam pada itu, ibu arwah Sohaini Mat Sarim 45 berkata, anaknya itu ada balik bercuti ke rumah untuk cuti hujung minggu. Sabtu itu mereka sekeluarga ada mandi mandi di Air Terjun Jeram Toi di Jelebu kerana sudah lama tidak bercuti bersama.
“Arwah demam dan tak selera makan. Pemergian ini benar-benar sangat mengejutkan,’ katanya yang berkongsi tatkala ditanya oleh orang yang menziarahi.
Difahamkan, allahyarham dalam perjalanan ke kuliahnya sebelah pagi sebelum kejadian menimpa. Malah petang sebelumnya, alllahyarham Ain sempat dihantar ke Stesen Komuter Seremban oleh bapanya dan tiba di Kuala Lumpur sebelah malam.
Alfatihah untuk arwah Norsya’Baniah Norhisham. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh. Semoga keluarganya sabar menerima ujian dan dugaan.