Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang baru saja pulang daripada misi kemanusiaan dari Kaherah Mesir ke Gaza Palestin berdepan dengan berita dukacita apabila bapanya disahkan telah menghembuskan nafas terakhir.
Untuk pengetahuan, Ebit pernah menceritakan mengenai keadaan kesihatan bapanya yang berdepan kanser perut peringkat terakhir dan sedang dalam keadaan ‘menanti hari’ di hospital kerana kanser tersebut telahpun merebak.
Baru-baru ini, Ebit sempat melawat bapanya walaupun untuk seketika waktu dalam persalinan PPE lengkap dan setelah diuji negatif COVID-19.
*
Menerusi perkongsian foto sedang berpimpingan tangan bersama arwah bapanya di Instagram beliau sebentar tadi, Ebit mencatatkan rasa kasih terhadap bapanya dan memohon agar orang ramai dapat mengirimkan doa Al-Fatihah.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Bapak saya yang tercinta baru sahaja meninggal dunia. Ya Allah beratnya rasa ujian ini.
“I love you bapak. Bapak pergi dulu. Nanti Ebit sampai yer. Ya Allah ampunilah bapak. Sayangilah beliau, rahmatilah beliau, hadiahkan syurga Firdaus untuk beliau.
“Ya Allah temukanlah bapak dengan mak dekat sana. Letakkanlah mereka bersama. Ya Allah, inilah ayahku yang sangat baik. Terima kasih pinjamkan dirinya untukku.
“Saya dalam perjalanan ke Gleneagles Hospital untuk bawa jenazah ayah untuk dimandikan di Masjid Bandar Baru Ampang.
“Kemudian terus bawa ke Muadzam Shah Pahang. Pohon doakan buat ayah saya dan hadiahkan Al-Fatihah..” karang beliau.
Bapa Ebit merupakan insan yang selalu menyokong anaknya itu yang gigih menyempurnakan misi membantu dari semasa ke semasa.
Dengan pemergian bapanya ini setelah ibunya kembali ke rahmatullah terlebih dahulu, Ebit tetap reda dengan berita tersebut dan bersyukur Allah ‘meminjamkan’ mereka kepadanya dalam kehidupan di dunia ini.
Salam takziah daripada Majalah Remaja kepada beliau sekeluarga. Al-Fatihah.