Van Putih Kembali Aktif Culik Pelajar, Seorang Pelajar Di Pandan Indah Hampir Menjadi Mangsa…

Share

Beberapa tahun lalu, kecoh kisah van putih yang aktif menculik kanak-kanak sekolah. Isu ini sememangnya menakutkan ramai ibu bapa malah pelajar juga diajar untuk berkata tidak kepada orang tidak dikenali.

Memandangkan isu ini pernah menjadi viral, pihak polis pernah mengeluarkan kenyataan mereka akan mengambil tindakan jika benar malah menafikan kewujudkan van putih yang sangat misteri ini.

Senyap untuk beberapa ketika, isu van putih kembali lagi apabila Jumaat lepas tular seorang pelajar didakwa hampir menjadi mangsa culik van putih ini dalam satu kejadian di Ampang.

Gambar pelajar ini bertebaran di media sosial dan masa yang sama ibu bapa dinasihati agar berwaspada dengan van putih yang mulai mengganas. Tular juga tangan  mangsa berdarah-darah.

Mangsa dipercayai pelajar tingkatan 1 dan berjaya melepaskan diri dalam cubaan culik tersebut

Berkaitan isu penculikan Jumaat lepas yang didakwa berlaku, pihak polis sedang menyiasat kes seorang pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah yang mendakwa dirinya cuba diculik oleh dua individu yang menaiki van berwarna putih, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kes itu.

“Walau bagaimanapun, kita belum pasti kesahihan cerita yg diberikan oleh mangsa. Kita masih siasat dan setakat ini tiada saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.

“Difahamkan berkaitan luka di tangan mangsa itu…bukan disebabkan cedera masa kejadian cuba diculik, tetapi luka akibat tergesel pada pintu ketika dia di sekolah,” katanya.

Ketika kejadian jam 12 tengahari itu, mangsa sedang menunggu bas di perhentian bas di Taman Pandan Indah, sebelum mangsa didatangi oleh dua suspek yang menaiki sebuah van, mangsa kemudian ditarik masuk ke dalam kenderaan tersebut.

Ketika dalam kenderaan itu, mangsa mendakwa telah ternampak papan tanda Pandan Jaya, kemudian bertindak menggigit tangan suspek.

Tular di media sosial kes culik ini yang didakwa berlaku Jumaat lalu

Rakan suspek yang sedang memandu telah memberhentikan kenderaan itu, lalu membuka pintu. Mangsa kemudian menendang suspek untuk melarikan diri, mangsa telah menaiki sebuah bas pergi ke sekolahnya.

Mangsa telah memaklumkan insiden itu kepada gurunya pada jam 5.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Ampang akibat tangannya cedera kerana terlanggar pintu sekolah, guru berkenaan terus menghubungi ibu bapa mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Sinar Harian hari ini melaporkan, Adun Cempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad menggesa polis menjalankan siasatan terperinci berhubung laporan kes cubaan menculik seorang pelajar sekolah menengah.

Adun Cempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad menggesa polis menjalankan siasatan terperinci b

Menurutnya, selain rondaan di kawasan yang berkenaan, polis juga diharap dapat menempatkan balai polis bergerak bagi mengelakkan kejadian sama berulang di masa akan datang.

“Saya telah mendapat laporan bahawa seorang pelajar sekolah cuba diculik di hadapan sebuah sekolah menengah, minggu lalu.

“Saya menggesa pihak polis melakukan rondaan di kawasan tersebut supaya keselamatan pelajar-pelajar sekolah terjamin. Walaupun cubaan culik berkenaan gagal tetapi kita mungkin tidak bernasib baik di masa akan datang.

“Oleh itu saya juga menggesa pihak polis sekiranya dapat meletakkan balai polis bergerak di kawasan tersebut atau sekurang-kurangnya meletakkan kereta peronda di kawasan berkenaan. Saya juga berharap pihak polis dapat menyiasat secara terperinci sehingga tertangkapnya penjenayah-penjenayah ini,” katanya.

Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar berkata demikian menerusi satu rakaman video pendek yang dimuat naik kepada pihak media.

Terdahulu, seorang pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Ampang mendakwa dirinya cuba diculik oleh dua individu yang menaiki van berwarna putih, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias turut mengesahkan polis telah menerima laporan berhubung kes itu dan sedang sedang menjalankan siasatan lanjut.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros