Video Ditonton Lebih 30 Juta Orang, Kenapa Kisah Anak Beruang Ini Popular?

Share

Video seekor anak beruang kecil yang terjatuh beberapa kali dalam usaha memanjat timbunan salji tebal untuk bersama ibunya seperti dipaparkan dalam fb We Don’t Deserve Animals termasuk hampir jatuh ke jurang yang dalam ternyata mampu memberi sejuta kesedaran dalam kehidupan manusia.

Anak beruang itu hanya seekor haiwan kecil namun dia tidak pernah berputus asa dengan kehidupannya. Beberapa kali terjatuh namun dia berusaha untuk mendaki semula. Pernah beruang kecil ini hampir jatuh ke jurang paling dalam dan Allah menyelamatkannya di mana dia sempat berpaut di tebing namun dia tetap berusaha mendaki semula sebelum berjaya bersama ibunya.

Jika dipandang dari sudut “kelakarnya” akibat kecomelannya mencuba beberapa kali, kita akan merasakan video ini tiada nilai sentimentalnya di hati kita. Tapi jika kita memandang dari sudut lebih dalam, ia ada perkaitan dengan kehidupan seharian kita. Kenapa?

Tanyalah hati. Apa perkaitan beruang comel ini dengan kehidupan manusia? Umumnya, tiada manusia tidak lepas dengan pelbagai ujian kehidupan.

Kita selalu merasakan kita gagal. Sebagai pelajar, bila gagal exam pun kita nak menangis. Itu belum lagi kita berputus asa sebab tak pandai-pandai sampaikan kita rasa, alang-alang duduk kelas hujung baik jadi budak nakal terus.

Itu belum lagi putus cinta dengan kekasih di mana kita merasakan kitalah manusia gagal sedangkan kekasih itu belum tentu lagi jodoh kita di dunia seperti tertulis di loh mahfuz.

Banyak kali berusaha tapi jatuh tapi tak pernah putus asa pun sehingga berjaya bersama ibunya

Itu belum lagi cabaran dalam kerja. Bila kita diberi tugasan-tugasan luar dari kebiasaan, kita terlalu cepat berputus asa dan meminta pertolongan orang lain yang kita anggap lebih hebat.

Itu belum lagi kita cuba menyalahkan orang lain, menyalahkan pentadbiran kerana gagal mengekang dan berbuat sesuatu yang lebih baik untuk kita.

Jika dilihat pada kehidupan anak beruang itu, binatang kecil ini terpaksa berjuang dalam kehidupannya. Penemannya hanyalah ibunya yang juga terdedah kepada bahaya lain yang belum tentu selamat tapi beruang kecil ini tidak putus asa, tetap naik dan terus naik sehingga berjaya.

Ibunya tak cuba pun untuk menariknya tetapi dalam kehidupan manusia, masih ada lagi orang yang menyayangi kita dengan menghulurkan tangan memberikan bantuan di saat kita mulai rebah.

Penulis dan ulama terkenal Indonesia yang menghasilkan buku-buku novel dan ilmiah bercorak keagamaan, Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah pernah menulis, Jangan Takut Jatuh, Kerana Yang Tidak Pernah Memanjatlah Tak Pernah Jatuh iaitu penggambaran bagi sikap jangan pernah takut untuk jatuh.

Begitu juga beliau menulis mengenai sikap jangan takut gagal di mana kata Hamka, Yang Takut Gagal, Kerana Yang Tak Pernah Gagal Hanyalah Orang-Orang Yang Tak Pernah Melangkah.

Dalam kehidupan memang begini. Akan ada selalu ujiannya sebelum berjaya tetapi jangan sesekali kita berputus asa. Jika kita merasakan kita gagal, tak akan berjaya selama itulah kata-kata itu akan terpahat di hati dan minda kita.

Jika ditanya apa kaitan beruang kecil ini dengan kehidupan manusia, ironinya jangan pernah rasa gagal kerana kegagalan hanya untuk orang yang penakut. Berusahalah dan terus berusaha kerana kejayaan ada di depan, sama ada lambat atu cepat kita mencapainya.

Untuk korang yang nak “hadap” SPM mulai Isnin 13 November, anggaplah ujian itu adalah  permulaan pada kehidupan, masih panjang lagi. Yang penting, jawap elok-elok dan apa juga result yang keluar, itulah usaha yang telah kita buat selama 11 tahun bersekolah mulai dari darjah satu.

Published by
Almaswa Haji Che Ros