Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Itulah pepatah yang sesuai untuk menggambarkan tentang seorang pemuda yang videonya telah viral di media sosial kerana menghina penjawat awam yang sedang bertugas.
Video berdurasi lebih kurang 15 minit itu dikongsi oleh laman Facebook Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia yang menunjukkan reaksi seorang pemuda begitu marah apabila dia dikenakan saman kerana tidak memakai pelitup muka di stesen minyak.
Pemuda itu cuba menerangkan bahawa dia hanya ke kaunter pembayaran yang dilakukan dari luar dan langsung tidak menghampiri individu lain. Katanya, tidak ada orang lain disitu dan dia tetap ingin menegakkan kebenaran bahawa dia tidak bersalah kerana tidak memakai pelitup muka di kawasan yang tidak ada orang lain.
Tidak hanya itu, pemuda tersebut turut meminta kad pengenalan pegawai polis itu sambil merekod kejadian yang berlaku. Sebaik sahaja selesai di saman, lelaki itu tetap meneruskan amarahnya di dalam kereta dan menghemburkan kata-kata kesat kepada pihak berkuasa dan kerajaan.
Korang boleh tengok sendiri video penuh di laman Facebook tersebut.
Difahamkan, pemuda berusia 29 tahun itu telah ditahan di rumahnya di Bandar Sri Damansara semalam. Menurut Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sekitar jam 10 malam hari yang sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menahan suspek.
Semasa proses tangkapan dibuat, suspek sekali lagi membuat rakaman video dan memuat naik di laman media sosial yang sama. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Rata-rata warganet yang menonton video viral tersebut turut berasa geram dengan perbuatan pemuda itu. Tidak kiralah setinggi mana kita menuntut ilmu, sebagai rakyat Malaysia kita tetap harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Semoga kisah ini dapat memberi teladan kepada semua supaya tidak sewenang-wenangnya bertindak di luar batasan.
Sumber: (1)