Video keselamatan penerbangan lazimnya dimainkan ketika kru kabin memberikan arahan tentang keselamatan sewaktu melakukan penerbangan. Bagi yang sering menggunakan pengangkutan udara, mungkin korang sudah biasa menonton video keselamatan yang disediakan oleh syarikat penerbangan.
Namun apa yang menariknya, Malaysia Airlines kini bekerjasama dengan Puan Sri Tiara Jacquelina yang buat pertama kalinya menjadi pengarah skrin bagi video yang baru dilancarkan berjudul Satu Dia Tiga, Jom!
Menerusi video Satu Dua Tiga, Jom! ini, ia bukan sekadar video biasa untuk menyampaikan lapan langkah keselamatan penting di dalam pesawat dengan cara yang mudah diikuti, malah lagu tradisional yang diguna menjadikan video ini unik serta menghiburkan.
Lebih catchy dengan koreografi menarik, video keselamatan penerbangan MAS ini juga menampilkan personaliti tanah air termasuklah ahli astrofizik pertama Malaysia Emeritus Prof Tan Sri Dr Mazlan Othman, juara gimnastik Farah Ann Abdul Hadi, Miss Universe Malaysia 2020 Francisca Luhong James, Diana Danielle, Lisa Surihani, barisan pelakon Ola Bola dan ramai lagi.
Turut menampilkan pramugari Malaysia Airlines Angela Low Kar Yee, Adrian Chung Chin Shan, Beatrice Leslie Belayong, Shazni Shazwani Mohd Azmi, Farah Yasmine Abdul Gafoor dan Wilfred Michael Jalleh.
“Ini bukan video keselamatan dalam penerbangan biasa. Saya mahu mereka dihiburkan dan dimaklumkan pada masa yang sama. Apabila ia menyeronokkan pasti mereka akan menontonnya lagi dan lagi. Lagi bagus kalau mereka menyanyi bersama-sama…dan menghafal arahan keselamatan ketika terbang,” jelas Tiara.
Wah, untunglah penumpang MAS dapat hiburan atas awan. Hiks!
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.