Pandemik Covid-19 benar-benar mengubah cara kita bekerja, kini boleh dikatakan semuanya dilakukan secara atas talian. Dunia seni tidak kurang menerima tempiasnya, termasuklah di Hollywood. Namun jika tidak berhati-hati dengan teknologi ini, lain pula jadinya.
Lukas Gage seorang pelakon muda berusia 25 tahun sedang menghadiri sesi uji bakat menerusi aplikasi Zoom mengalami satu situasi yang cukup kekok apabila pengarah yang melakukan uji bakat terlupa untuk meletakkan komputernya di dalam mod senyap.
psa if youre a shit talking director make sure to mute ur shit on zoom mtgings pic.twitter.com/PTgMZcRhEw
— lukas gage (@lukasgage) November 20, 2020
Pengarah tersebut, Tristram Shapeero telah meluahkan ayat seolah-olah menghina tempat tinggal pelakon muda tersebut. Omelannya seolah-olah sedang bercakap dengan orang di sebelahnya, “Orang miskin tinggal di apartment kecil…macam…cuba tengok rumah dia ni, anda tahu, latar belakang dan ada TV di dinding, faham tak…”
Lukas pula dengan selambanya menjawab, “Saya tahu ini apartment biasa. Sebab itulah anda perlu berikan saya kerja ini supaya saya boleh mendapatkan rumah yang lebih baik.” Menyedari omelannya didengari oleh Lukas, Tristram sedaya upaya cuba meminta maaf.
Lukas kemudiannya memuat naik klip rakaman yang cukup kekok ini ke Instagram dan menerima lebih sejuta tontonan dan lebih 130 ribu tanda suka untuk hantaran tersebut. Apa yang menarik, rakan-rakan selebriti lain dilihat memberikan kata-kata semangat dan mengeji tindakan pengarah tersebut yang dilihat seolah-olah memandang rendah kepada tempat tinggal pelakon terbabit.
Walaupun baru berusia 25 tahun, dia sebenarnya sudah menceburi bidang lakonan sejak tujuh tahun yang lalu ketika berusia 18 tahun. Antara filem dan drama lakonannya seperti Supergirl, Veronica Mars, Euphoria dan Love,Victor.
***P/S Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.