Malaysia kini sedang khusyuk mengikut perbicaraan kes penderaan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Satu-persatu saksi pendakwaan diperkenalkan bagi menjawab persoalan mengenai apa sebenarnya yang berlaku di antara bekas penghuni rumah kebajikan Rumah Bonda dengan pengasasnya, Siti Bainun Ahd Razali.
Setelah kenyataan awal daripada saksi dakwaan diberikan, semalam Mahkamah Sesyen telah ditunjukkan beberapa klip video yang menunjukkan salah seorang bekas penghuninya, Yasmin Nahar Mahmood yang dilayan seperti ‘hamba abdi’ oleh Siti Bainun; seperti yang didakwa Yasmin sebelum ini.
Yasmin, 19 yang juga merupakan saksi pendakwaan kelima dilihat ada bersama-sama Bella dalam video tersebut. Ia memaparkan sambutan Aidilfitri dan semasa sambutan hari jadi Yasmin, selain percutian Siti Bainun di sebuah hotel bersama dua penghuni itu.
Mengulas mengenai video Aidilfitri pada 22 Mei 2021 itu, peguam Siti Bainun iaitu Nur Aminahtul Mardiah Md Nor bertanyakan kepada Yasmin siapakah yang Bella peluk paling lama. Jawab Yasmin, Siti Bainun. Yasmin juga mengiyakan apabila ditanya jika Bella tidak takut dan sanggung memeluk insan yang didakwa merupakan penderannya paling kuat.
Nur Aminahtul juga mempersoalkan tuduhan kononnya Bella dikatakan Yasmin asyik terjatuh apabila berjalan kerana kakinya lemas setelah sering didera. Ini berikutan paparan klip video tersebut yang menunjukkan Bella boleh berjalan seperti biasa. Begitupun, Yasmin menafikan keterangan diberikannya sebelum ini adalah palsu.
ARTIKEL BERKAITAN : “Saya Akan Gunakan Kuasa Yang Ada…”- Che Puan Besar Khaleeda Prihatin Nasib Bella, Ingin Bantu Tuntut Keadilan – REMAJA
Siti Bainun, 30 mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Dia didakwa melakukan perkara itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.
Perbicaraan bakal bersambung Rabu hadapan.
Sumber : BERNAMA (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.