Kisah Tular Remaja Sarawak Merantau 2 Jam Demi Capai Internet Terima Perhatian Menteri

Share

 

Isu capaian internet yang masih lemah di negeri Malaysia Timur seperti Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bukan lagi satu berita baharu. Biarpun negara telah memasuki tahun 2022, masih ramai penduduk di sana terutamanya para pelajar yang bergantung harap kepada perhubungan internet yang terpaksa akur perlu bersusah-payah demi mencapainya.

Jika dahulu sekitar tahun 2020; kisah mahasiswi Sabah, Veveona Mubin telah mendapat perhatian umum setelah terpaksa memanjat pokok dengan mendapat capaian internet, kini kisah seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dari Sarawak dengan isu yang sama pula berjaya menerima perhatian menteri.

ARTIKEL BERKAITAN : “Siap Bawa Parang”, Pelajar Di Sarawak Berkelambu Dalam Hutan Demi Capaian Internet – REMAJA

BACA LAGI : ‘Most Hardworking Student’, Kisah Veveonah Jadi Perhatian Seluruh Dunia – REMAJA

Media melaporkan Frank Steward Panting Sa dari Pakan, Sarawak terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam sebelum akhirnya berjaya mendapatkan kelajuan internet memadai bagi menghadiri temu duga bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak secara atas talian.

Pondok di mana remaja berusia 19 tahun ini mengikuti temu duganya. Sumber Foto : Facebook
Jarak jauh terpaksa dilalui oleh Frank demi mencapai cita-citanya. Sumber Foto : Facebook

Frank dilaporkan menetap di penempatan rumah panjang Rumah Suing di Teberu, Ulu Kemalih. Kawasan tersebut telah dilengkapi kemudahan WiFi Sarawak Linking Urbang, Rural & Nation (Saluran). Bagaimanapun, masalah kelajuan internet tetap berlaku.

Kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Twitter setelah laporan tersebut tular, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk berhubung dengan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) bagi menangani masalah tersebut.

Catat beliau, “Saya amat bersimpati dengan apa yang dia harus lalui namun kagum dengan ketabahannya. Rangkaian internet tersebut adalah di bawah seliaan SRBN.”

Terdahulu, video kiriman abang Frank, Mario Sa menerusi Facebook menjadi tular.

Ia memaparkan adiknya sedang duduk bersila di atas tikar bemban dekat sebuah pondok yang dibina oleh ayah mereka, Sa Ujom demi menghadiri temuduga.

Frank yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru satu hari nanti sanggup merantau jauh sehingga kakinya digigit pacat demi menghadiri temu duga itu.

REMAJA berharap temu duga Frank ini berakhir dengan kejayaan apabila dia dijangka menerima keputusannya dalam tempoh dua minggu lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber : (1) (2)

Published by
FZ