VINCENZO Saksikan ‘Comeback’ Ok Taecyeon, Gaya Mafia Song Joong-ki

Share

 

Hari yang paling dinanti-nantikan oleh peminat K-Drama tiba juga apabila Netflix akan mula menayangkan drama Vincenzo mulai hari ini!

 

Tentunya, jalan cerita drama anti-hero yang mengisahkan tentang ‘perunding’ yang berkhidmat untuk mafia Itali ini sudah cukup untuk menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun, satu lagi tarikan Vincenzo terletak pada barisan pelakon trio utamanya. Masing-masing mempunyai kelompok peminat yang cukup luar biasa.

REMAJA berkesempatan menyertai sidang media yang dihoskan oleh Netflix bersama-sama Song Joong-ki (Vincenzo Cassano), Jeon Yeo-been (Hong Cha-young) dan Ok Taecyeon (Jang Joon-woo) bagi mendalami peranan masing-masing dan apa yang membuatkan Vincenzo sebagai drama yang sama sekali tidak boleh dilepaskan oleh penonton.

Karakter mereka bertiga ini mungkin sekali berkait rapat dengan dunia guaman. Bagaimanapun, misi dan agenda yang mereka miliki adalah berlainan dan di situlah timbulnya konflik mahupun persamaan yang wujud tanpa sedar.

Malah, Joong-ki melihat ada sedikit persamaan di antara wataknya, Vincenzo Cassano dan watak Tom dalam filem Godfather.

Song Joong-ki.

“Kami bertiga mempunyai karakter anti-hero yang membuatkan drama ini menarik. Ada masanya, kami kelihatan lebih seperti ‘villain’ daripada villain sebenar.

“Semasa peringkat awal membaca skrip tentang K-drama berkonsep perunding Mafia yang berhijrah ke Korea, saya sendiri tidak pasti sama ada drama ini akan ‘makes sense’ memandangkan ia adalah genre baru.

“Ada drama, komedi dan fantasi dalam Vincenzo. Namun, saya rasakan pengarah Kim Hee Won berjaya untuk menggabungkan unsur Mafia dengan masyarakat Korea zaman ini. Ramai yang boleh ‘relate’ dengannya.”

“Kita selalu menonton berita tentang kes jenayah di TV pada setiap hari. Vincenzo mengkritik masyarakat kita yang terlibat dalam jenayah secara langsung atau tidak. Dan saya rasakan cara Vincenzo menghukum pesalah adalah refreshing serta memuaskan hati,” jelas Joong-ki yang perlu mempelajari slanga dan bahasa Itali demi drama Vincenzo ini.

Drama Vincenzo juga umpama magnet buat peminat bekas ahli grup 2PM, Ok Taecyeon apabila dia melakukan comeback setelah kali terakhir muncul menerusi drama The Game: Towards Zero, tahun lalu.

“Sekiranya Joong-ki dan Yeo-been perlu melakukan persediaan rapi untuk menguasai watak peguam, saya pula lebih chill kerana watak Joon-woo merupakan seorang intern

yang sering melakukan kesalahan dan naif.

“Ada masanya, saya juga pelik bagaimana dia boleh melepasi bar exam untuk menjadi peguam! (ketawa)”

“Dia menyimpan perasaan terhadap Hong Cha Young namun cinta itu ditolak dengan keras. Episod demi episod, penonton akan menyaksikan jalan cerita Joon-woo berkembang, begitu juga dengan kematangannya.

Ok Taecyeon

“Sebelum ini, saya dan Yeo-been pernah bekerjasama menerusi drama Save Me pada tahun 2017, jadi kami  selesa bergandingan. Dengan Joong-ki pula, ini adalah kali pertama kami dalam produksi sama.

“Biarpun babak saya dan Joong-ki tidak begitu banyak, tapi kami berjaya mewujudkan persekitaran yang mesra di set sepanjang 6 bulan penggambaran Vincenzo,” kata Taecyeon yang tidak lokek dengan senyuman semasa menjawab soalan sidang media.

*

Berbeza dengan watak Taecyeon dalam drama Vincenzo itu, watak Hong Cha Young lakonan Jeon Yeo-been pula bersifat serius dan mempunyai motif untuk ‘menang’ dalam apa jua keadaan.

Jeon Yeo-been.

“Sebagai peguam di firma paling berprestij di Korea, Cha Young tidak berpandukan kepada apa yang benar atau tidak. Dia membuat keputusan berdasarkan apa yang akan memberikan kelebihan kepadanya. Itu membuatkan saya tidak sabar menantikan apakah yang akan dilakukan oleh watak saya ini dalam situasi berbeza.

“Sebagai seorang pelakon yang tidak berapa dikenali, saya terkejut apabila saya merupakan pelakon pertama yang direkrut untuk Vincezo sebelum Joong-ki dan Taecyeon.”

“Saya sudah lama meminati Joong-ki sejak di sekolah menengah manakala saya dan Taecyeon pula pernah bergandingan sebelum ini dan saya tahu dia seorang yang amat prihatin terhadap orang lain. Ia membuatkan saya lebih mudah mendalami karakter karismatik seperti Hong Cha Young ini.

“Saya tahu tak semua penonton akan menggemari Cha Young, tapi itulah yang membuatkan saya lebih menyukainya. Cara dia bercakap dengan cepat, pergerakannya yang unik. Dia tahu dia tidak perlu disukai untuk berjaya,” jelas pelakon berbakat berusia 31 tahun itu.

Bagi korang yang gemarkan K-drama penuh cliffhanger, kejutan, kadangkala kelakar atau sekadar ingin menonton tiga orang pelakon utama ini, Vincenzo adalah jawapannya.

Tonton Vincenzo pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula hari ini di platform penstriman atas talian, Netflix.

Published by
FZ