Kehadiran seorang peserta dari Kelantan tiba-tiba menjadi viral apabila tarian ular yang dipersembahkan kepada juri menarik perhatian netizen di media sosial.
Mohamad Imran Che Ibrahim berasal dari Kelantan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang pelakon. Pernah mengambil kelas lakonan bersama Isma Yusof, Imran hadir dengan satu matlamat iaitu ingin menjadikan Hero Remaja sebagai platform untuk dirinya menempatkan diri dalam bidang seni.
Ingin memberi kelainan di sesi uji bakat, anak muda yang berusia 18 tahun ini menjadikan tarian ular sebagai penarik bagi persembahannya semalam.
"Al-kisahnya keluarga saya memang minat menonton drama Naagin dan satu hari tu, saya terlihat mereka semua terlalu khusyuk menonton. Dari situ saya tertanya-tanya apa yang menarik tentang drama tersebut, dan kemudian saya pun tergerak hati untuk belajar menari ular. Nak tunjukkan kepada mereka yang saya boleh melakukan kelainan," jelas Imran.
Tak peduli komen negatif
Video persembahan Imran menjadi viral di Facebook apabila mendapat lebih kurang 2.3 ribu komen dan 1.7 shares di Facebook. Ada yang memberi komen positif dan tak kurang juga mereka yang memberikan komen negatif.
"Komen-komen yang tidak elok saya ambil untuk jadikan sebagai penguat semangat dan yang positif Alhamdulillah saya ucapkan terima kasih kerana memberikan komen yang baik-baik," sambungnya lagi.
Tak hanya mendapat komen-komen negatif, ada juga yang memuji tahap berani dan keyakinan yang ada dalam diri Imran.
Tidak cepat berputus asa, Imran sekali lagi hadir pada sesi uji bakat hari kedua dan kali ini dia berjaya sampai hingga ke Stage
3 dan dijurikan oleh Awal Ashaari.Serius kami pun bangga melihat keberanian dan semangat anak muda ini. Dia tidak langsung mengendahkan komen dan pandangan negatif daripada masyarakat.
Kalau korang nak tahu, instagramnya @mranrahim mempunyai lebih daripada 71 ribu followers. Bukan kaleng-kaleng ok!
Apa-apa pun kami mengucapkan terima kasih kerana menyertai sesi uji bakat Hero Remaja tahun ini dan semoga Imran dapat mencapai segala impian dan cita-citanya.