Itulah padahnya jika terjebak dengan ‘najis’ dadah ini.
Kalau korang perasan, dua tiga hari ini viral dan tular di media sosial apabila sekumpulan orang masjid memandikan seorang remaja seperti mayat kerana disyaki mencuri tabung masjid.
Malah, remaja tersebut turut dikenakan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majisret semalam.
Namun, persoalan tentang kenapa remaja tersebut mencuri tabung tersebut terjawab apabila Polis menafikan dakwaan tindakan seorang remaja yang tular kerana mencuri dana tabung masjid untuk membeli ubat datuknya, sebaliknya adalah bagi kegunaan membeli dadah.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, siasatan polis mendapati remaja berusia 19 tahun itu mencuri duit tabung untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian.
“Soal siasat kami dapati dia mencuri untuk beli dadah dan untuk bermain judi online di telefon bimbit, bukannya untuk beli ubat datuknya seperti mana dakwaan yang tular di media sosial.
“Ujian saringan air kencingnya juga didapati positif dadah jenis syabu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, berdasarkan pengakuan remaja terbabit, dia telah terjebak dalam penagihan dadah sejak kira-kira setahun. Sebelum ini, video remaja tersebut dihukum dengan mandikan seperti jenazah turut tular sehingga mendapat pelbagai reaksi netizen.
Penyalahgunaan dadah menjadi isu besar di Malaysia. Umum mengetahui kesannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: sinar harian