Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila seorang usahawan popular dikritik warganet selepas mengeluarkan produk bertemakan Palestin yang didakwa dijual dengan harga mahal.
Pemilik jenama dUCK, Vivy Yusof tampil memberi penjelasan terhadap beberapa isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak terhadap produk terbaharunya.
Vivy menerusi Instastory memaklumkan, bahawa syarikatnya sama sekali tidak akan mengambil sebarang wang hasil pembelian pelanggan menerusi koleksi dUCK Palestin.
Menurutnya, semua keuntungan yang diperolehi akan disalurkan terus ke organisasi bukan kerajaan (NGO) Viva Palestina Malaysia (VPM) bagi membantu dari segi hospital, bekalan perubatan, tempat perlindungan dan makanan di sana.
Malah, Vivy turut menegaskan bahawa tiada pembayaran balik cukai dengan jualan amal yang dibuat menerusi koleksi dUCK Palestin seperti yang didakwa ramai.
Perkara ini boleh disahkan bersama Viva Palestina Malaysia sendiri.
Tambahnya lagi, pengeluarannya koleksi khas ini adalah atas permintaan orang ramai yang mahu memakainya sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
Malah, dengan mereka memakainya, ia boleh menambah kesedaran berhubung konflik yang berlaku di sana dan memberi sokongan kepada Palestin.
Sehubungan itu, pihak dUCK boleh menyebarkan kesedaran dengan medium sebegini tanpa mengambil sebarang keuntungan.
Justeru, Vivy menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada NGO yang dipercayai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.