Wajah Dewi Perssik Naik Ruam Dek Positif Covid-19, Doktor Jelas Beza Dengan Ruam Biasa

Share

 

Sebulan masa yang telah diambil oleh penyanyi Indonesia popular, Dewi Perssik untuk benar-benar yakinkan diri dan muncul semula di hadapan khalayak ramai.

Ini berikutan pengesahan dirinya yang telah didapati positif kes Covid-19. Tempoh sebulan terpaksa diambil oleh penyanyi yang mesra dengan panggilan DePe itu untuk proses pemulihan. Berita tersebut tidaklah mengejutkan ramai pihak memandangakan jumlah kes di Indonesia agak tinggi juga mengikut laporan harian media di sana.

Sebaliknya, apa yang mengejutkan adalah situasi ruam kemerahan pada wajah dan dada DePe dek kerana jangkitan tersebut.

Catatnya di Instagram, ini adalah di antara simptom yang terpaksa dihadapi oleh pesakit positif Covid-19.

“Jadi, timbul kemerahan ini adalah salah satu yang timbul dari mereka yang terkena Covid sekitar 20 peratus. Nah ini jadi bahan renungan buat kita semua dan teguran buatku juga untuk menggugurkan dosa-dosaku. Dan bahawa Covid itu nyata,” jelasnya.

Perubahan terjadi pada kulit DePe setelah disahkan positif Cvid-19. Sumber Foto: Instagram @dewiperssikreal.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh rakan media di bahagian kesihatan Detik.Com, kajian King’s College mengenai gejala ruam akibat jangkitan Covid-19 adalah suatu gejala yang pernah terjadi ke atas pesakit lain setelah mereka berdepan simptom seperti batuk, demam dan sesak nafas.

Ia berbeza sama sekali dengan gejala ruam biasa. Ruam biasa yang kita alami terjadi disebabkan keradangan, stres, efek sampingan perubatan, ekzema atau alergi. Keadaan ruam juga kelihatan seperti bintik merah yang menjadi penanda kepada simptom cacar air atau chicken pox.

Ruam yang terjadi akibat kes Covid-19 pula adalah disebabkan oleh keradangan pada saluran darah. Menurut ketua bahagian dermatologi di Howard University iaitu Dr Ginette Okoye, ruam ini membengkak dan kelihatan seperti ungu kemerahan pada bahagian jari kaki. Ia selalunya dihadapi oleh pesakit Covid-19 yang lebih muda. Walaupun tidak mendatangkan rasa gatal namun masih terasa sakit.

Pesakit juga seringkali mendapati munculnya benjolan kecil gatal persis cacar air dan ia mucul pada bahagian siku, lutut, pungung, tangan dan kaki.

Beliau turut menyarankan agar pesakit tidak gusar kerana gejala ini adalah penanda imun badan sedang ‘melawan’ virus Covid-19 yang menyerang pesakit.

Buat pakar kulit dari New York iaitu Dr Marie Hayag pula, ruam pada kulit seperti yang terjadi kepada DePe ini juga mungkin adalah kesan pencucian tangan secara berlebihan, menggunakan hand sanitizer secara kerap dan pemakaian sarung tangan yang menyebabkan iritasi. Semua ini terpaksa dihadapi oleh pesakit bagi memastikan mereka berada dalam keadaan paling selamat dan bersih.

Keadaan kulitnya yang semaki pulih setelah sebulan berehat. Sumber Foto: Instagram @dewiperssikreal.

Apapun, syukur setelah DePe mengesahkan bahawa beliau telahpun sembuh setelah 2 kali pemeriksaan berikutnya.

Selain mengingatkan agar semua orang mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengelak daripada dijangkiti Covid-19, beliau juga menyarankan agar mengurangkan kepadatan kerja dan dapatkan lebih banyak masa berehat pada musim pandemik ini.

“Gejala yang saya alami ini adalah gejala ringan. Yang lebih berbahaya adalah orang tanpa gejala kerana dia tetap merasa sihat dan berpotensi menjangkiti golongan yang berisiko,” simpulnya.

ARTIKEL BERKAITANApa Kaitan Face Mask Dan Jerawat, 5 Nasihat Dari Doktor Ini Elak ‘Maskne’ – REMAJA

Published by
FZ