Wajah Kacak Bikin Histeria. Bright Vachirawit, Bintang Thailand Yang Menakluk Peminat Seluruh Dunia

Share

Kebiasaannya bintang popular dari Hollywood, Bollywood dan juga Korea Selatan begitu dikenali serata dunia. Namun kini muncul pula gelombang dari dunia seni Thailand yang dilihat sudah mula ‘mengeksport’ bakat-bakat mereka agar terkenal serata dunia.

Antara salah seorang yang kini menjadi perhatian ialah pelakon, penyanyi dan model, Bright Vachrawit. Merupakan anak kacukan berdarah Thai dan Amerika Syarikat, jejaka berusia 26 tahun ini dibesarkan di Thailand oleh ibunya apabila kedua orang tuanya bercerai.

Kredit foto: Instagram Bright Vachirawit

Memulakan kariernya dalam dunia seni seawal usia 15 tahun, namun begitu bintangnya benar-benar bersinar apabila membintangi drama 2gather The Series dan Still 2gather yang merupakan siri paling banyak ditonton di saluran LINE TV di Thailand.

Selain dua drama bersiri tersebut, Bright juga terpilih untuk berlakon dalam siri remake versi Thai bagi drama Boys Over Flower yang dipopularkan oleh kumpulan F4 sebelum ini.

Kemudian dia sekali lagi mencipta fenomena apabila digandingkan bersama pelakon wanita popular Thailand, Davika Hoorne dalam siri Astrophile yang menerima lebih 30 juta jumlah tontonan.

Walaupun sibuk dengan dunia seni, jejaka berusia 26 tahun ini tidak mengabaikan pendidikan. Dia baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pemasaran dari Bangkok University pada penghujung tahun lalu. Menariknya majlis konvokesyennya dihadiri oleh lebih 2’000 peminat!

ARTIKEL BERKAITAN: Popular Dan Bijak, Mai Davika Miliki Sarjana Dalam Bidang Komunikasi

FASHION STAR

Lumrah kehidupan selebriti, fesyen tidak boleh dipisahkan. Dengan ketinggian dan rupa paras kacak yang dimilikinya, Bright menjadi pilihan banyak jenama fesyen antarabangsa. Apatah lagi kehadiranya dalam majlis fesyen telah memberikan jenama tersebut nilai media yang gah bernilai jutaan dolar.

Kredit foto: Instagram Bright Vachirawit

Jenama seperti Prada, Chanel dan Louis Vuitton bekerjasama dengannya bagi menaikkan lagi imej mereka di rantau Asia Tenggara. Tahun lalu, Bright telah menjadi duta global Burberry dan dia merupakan selebriti Asia Pasifik Selatan pertama seumpamanya yang dipilih untuk menggalas tugas itu.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen