Keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) telah pun diumumkan semalam dan apa yang menarik perhatian media adalah apabila anak seorang Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan merangkul Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2023 kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK).
ARTIKEL BERKAITAN: Walaupun Hidup Serba Sederhana, Anak Pemandu Lori Sampah Mampu Jadi Pelajar Terbaik STPM 2019
Muhamad Rafiuddin Mohamad Hisham, 20, merupakan penuntut Tingkatan Enam Institusi St John, Kuala Lumpur mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Pemuda berusia 20 tahun yang juga yang bercita-cita menjadi pensyarah ini turut berkongsi kunci kejayaannya dan amalannya setiap hari.
Bangun selewat-lewatnya jam 5.30 pagi dan menunaikan solat sunat tahajud setiap hari antara kunci kejayaan.
“Saya akan bangun selewat-lewatnya pada 5.30 pagi dan saya akan sempatkan juga buat solat sunat tahajud dua rakaat, itu wajib setiap hari.
“Selain itu, kalau ada tip-tip daripada guru, itu saya akan ambil perhatian dan selalu buat sesi perbincangan dengan guru jika tidak puas hati dengan soalan-soalan tertentu.
“Sebab di Tingkatan Enam, kita pun kena suarakan pendapat sendiri, bila buat begitu kita akan lebih faham dengan tajuk tersebut” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Batu Caves, Selangor pada Selasa.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Menurut Muhamad Rafiuddin yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik, dia mula hilang penglihatan sejak berumur tiga tahun akibat kanser limfoma. Bagaimanapun ujarnya, penglihatan mula pulih selepas menjalani beberapa rawatan termasuk latihan kemoterapi.
“Dalam setahun setengah saya buat rawatan (kemoterapi) dan sekarang saya sudah baik.
“Sekarang saya sudah tidak buat, tetapi masih ada perjumpaan (dengan doktor),” ujarnya.
Tidak kiralah sama ada kita OKU atau sempurna, paling penting adalah usaha dan semangat untuk berjaya dalam bidang akademik.
Sekali lagi kami ucapkan tahniah buat Muhamad Rafiuddin. Semoga kamu lebih cemerlang dalam meneruskan peringkat akademik yang lebih tinggi.
BACA LAGI: Mimi Lana Risau, Berduka Fikirkan Penduduk Gaza Dalam Menyambut Bulan Ramadan
Sumber: 1
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.