Ketika ini, Miss Global Malaysia 2021/22, Sandra Lim sedang mengikuti pertandingan Miss Global 2022 bertempat di Bali, Indonesia. Dia yang sudahpun berada disana sejak enam hari lalu telah mendapat perhatian daripada pemerhati dunia ratu cantik seluruh dunia.
Buktinya, baru sahaja memulakan perjuangan, dia telah menerima anugerah Best Impression for Press Conference. Kemenangannya itu adalah hasil undian dari para media Indonesia yang hadir ke majlis tersebut.
Acara tersebut adalah sesi memperkenalkan wakil seluruh dunia yang menyertai pertandingan Miss Global. Tempat kedua pula jatuh kepada wakil Indonesia dan tempat ketiga dimenangi oleh wakil Korea Selatan.
Ketika menghadiri majlis sidang media itu, kelihatan Sandra tampil anggun dalam gaun labuh rona perak dan hitam berbelah tinggi rekaan jenama fesyen Malaysia, Wan and Mary.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagamnya, gadis berusia 21 tahun ini berkata, “Terbang tinggi! Terima kasih kepada organisasi Miss Global, penyokong ratu cantik Indonesia dan media yang mengundi saya sebagai Best Impression for Press Conference. Anugerah ini sangat bermakna kerana saya menerima sokongan daripada orang bali dan rakyat Indonesia.”
ARTIKEL BERKAITAN: Naga Tasik Chini Jadi Inspirasi, Miss Global Malaysia Angkat Kisah Legenda Di Pentas Antarabangsa
Tahun ini pertandingan Miss Global menyaksikan lebih 74 peserta menyertainya dari seluruh dunia. Malaysia setakat ini belum pernah memenangi mahkota pertandingan yang mula dianjurkan pada tahun 2013 ini.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.