Wakil Miss Grand Malaysia Catat Sejarah, Bolos Posisi TOP 10

Share

 

Buat julung-julung kalinya, wakil Malaysia ke pertandingan Miss Grand International terpilih untuk menyertai senarai 10 peserta terbaik di pertandingan ratu cantik tersebut.

Bertempat di Bangkok Thailand, wakil negara iaitu Jasebel Robert terdahulu telah mencuri tumpuan dengan kostum nasional bertemakan Mak Young apabila ia tergolong dalam senarai lima kostum pilihan para juri di pusingan awal.

ARTIKEL BERKAITAN : Dari Kelantan Ke Miss Grand International, Kostum Malaysia Masuki TOP 5! – REMAJA

Sumber Foto : Instagram @missgrandmalaysia.

Biarpun tidak berjaya membawa pulang kategori kostum nasional terbaik, Jasebel mencipta keajaiban apabila dia berjaya melangkah ke pusingan 10 wakil terbaik setelah wakil negara berusia 25 tahun itu dinobatkan sebagai Miss Popular berdasarkan undian peminat dari seluruh dunia.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan Jasebel membolosi posisi Top 10 dan meneruskan perjuangan dalam segmen ucapan (speech) bertemakan COVID-19.

Dalam segmen tersebut, Jasebel memulakan ucapannya dengan berharap agar masyarakat bersatu hati menangani pandemik COVID-19 yang masih menular di seluruh dunia.

“Sekiranya COVID-19 telah mengajar kita sesuatu, ia telah mengajar kita bahawa virus ini tidak mengenali warganegara, agama, jantina, orientasi seksual. Bilakah akan kita sedar mengenai perkara ini? Bilakah kita akan berhenti menumpukan pada perbezaan di antara kita dan fokus ke arah persamaan yang wujud?

“Bila kamu melihat orang di sebelah, kamu akan melihat penonton Miss Grand International.

“Namun, jika kamu boleh menukar mentaliti itu dan mula melihat mereka sebagai saudara, kamu boleh, ‘Go to the moon and beyond’, seperti yang dikatakan oleh (Albert) Einstein.”

“Jadi, saya ingin ‘memberitahu’ COVID-19 bahawa ia telah salah mencari mangsa kerana manusia adalah lebih kuat daripada segalanya jika kita bersatu hati. Kami lebih kuat disebabkan perasaan kasih sayang, prihatin dan kita semua adalah sama.

“Saya juga ingin mengajak semua orang untuk meraikan 64 wakil peserta (Miss Grand International) yang telah berkerja keras untuk berada di sini. Terima kasih,” simpul Jasebel.

Jasebel menggayakan gaun rekaan Sposa By Rizky.

Biarpun Jasebel tidak membolosi kedudukan 5 wakil terbaik selepas segmen evening gown, ia masih merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

Secara peribadinya, penulis menggemari ucapan Jasebel kerana ia kedengaran hadir dari hatinya sendiri dan tidak dihafal perkataan demi perkataan.

Kejayaan ini wajar dijadikan penanda aras buat wakil ratu cantik Malaysia seterusnya ketika mengibarkan Jalur Gemilang di pertandingan masing-masing kelak.

*

Terdahulu, REMAJA pernah menemubual wakil Malaysia ke Miss Universe 2020, Francisca Luhong James dalam video empat bahagian.

Published by
FZ