Wakil Palestin Raih Tempat Ketiga Pertandingan Miss Earth 2022, Korea Bergelar Juara

Share

Siapa sangka nama akan Palestin bergema dalam pertandingan ratu cantik? Akhirnya nama negara ini bergema dan menjadi sebutan ramai apabila wakilnya, Nadeen Ayoub berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan berprestij, Miss Earth 2022.

Nadeen yang tinggal di Ramallah, Tebing Barat, Palestin merupakan seorang jurulatih kesihatan dan usahawan yang bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan dalam memperkasakan wanita di negaranya. Selain itu dia juga menyumbang kepada kempen kesedaran budaya Palestin dengan sokongan Kementerian Kebudayaan negara itu.

Menerusi kemenangannya berada di kedudukan ketiga, dia menerima gelaran Miss Earth Water dan akan terlibat dalam sebarang kerja amal dan sosial yang akan dijalankan oleh organisasi tersebut bersama-sama pemenang yang lain.

Nadeen Ayoub tampil menawan dalam busana gaun rona kuning bermotif bunga.

Pertandingan yang mengkhususkan kepada inisiatif menyokong kesedaran alam sekitar, pemuliharaan dan tanggungjawab sosial ini menerima 86 penyertaan dari seluruh dunia.

Selain menyaksikan Palestin yang berada di kedudukan ketiga, pemenang keseluruhan jatuh kepada wakil Korea, Mina Sue Choi sekaligus bergelar Miss earth 2022. Manakala melengkapkan kedudukan empat terbaik ialah wakil Australia, Sheridan Mortlock dan wakil Colombia, Andrea Aguilera. Mereka masing-masing mendapat tempat kedua dan keempat serta menerima gelaran Miss Earth Air dan Miss Earth Fire.

Sewaktu cabaran soal jawab di peringkat top 4, keempat-empat mereka telah menerima soalan yang sama. Memberikan jawapan paling bernas ialah Korea yang menang bergaya seperti yang dijangka semua berdasarkan cara dia menjawab.

Juara Miss Earth 2022, Mina Sue Choi dari Korea dan pemenang tempat ketiga, Nadeen Ayoub dari Palestin.

“Jika ada satu perkara yang saya boleh perbetulkan di dunia iaitu menjadi lebih bersikap empati. Kita selalu tersilap menilai yang bersikap jujur adalah sama dengan empati. Sebenarnya sikap empati adalah tentang meletakkan diri kita dalam diri orang lain.

“Dan ini termasuklah apabila berbicara tentang isu iklim dan isu lain di dunia. Kita harus melhat cara orang lain melihat dunia ini, kita harus memahami kesakitan mereka dengan menilai sesuatu perkara dari kaca mata mereka,” jawabnya panjang apabila di soal mengenai perkara apa yang dia ingin perbetulkan di dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Wakil Thailand Dinobatkan Sebagai Juara Miss Tourism International 2022/23

Mina Sue Choi dilahirkan di Sydney, Australia berhijrah ke beberapa buah negara seperti Kanada, Amerika Syarikat dan China sebelum menetap di Korea Selatan. Dia kini merupakan pelajar dalam jurusan komunikasi di University of Illinois, Amerika Syarikat.

Dari 86 peserta keseluruhan, peserta dikecilkan kepada 20 semi-finalis dan kemudiannya menjadi top 12, top 8 dan seterusnya top 4. Wakil Malaysia, Dr Kajel Kaur gagal menyerlah sekaligus tidak berjaya menembusi jajaran semi-finalis.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Kredit foto: Facebook Miss Earth

Published by
Fiezreen