
Tahniah diucapkan kepada Kelab Koir Sekolah Menengah Swasta St Joseph (SJPS) kerana memenangi tempat pertama, juga Anugerah Emas pada Pertandingan dan Festival Choral Busan Kategori Belia.
Kumpulan ini merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang membuat persembahan secara maya dan membawakan lagu tradisional ‘Ikan Kekek’.
Kelab Koir SJPS berjaya menewaskan tiga peserta termasuk dua dari Indonesia dan satu dari Korea Selatan.
St Joseph Private School Chamber Choir ditubuhkan pada 2017 dan terkenal dengan pementasan The White Rajah pada 2017 dan 2019.
Sebelum ini, mereka pernah memenangi Pingat Emas di Festival Koir Maya Dunia ke-2 pada 2020 dan Anugerah Emas di Malaysian Choral Eisteddfod International Choral Festival.
Malah pada 2018, mereka juga pernah merangkul pingat perak menerusi Festival Choral Antarabangsa Orientale Concentus ke-11 di Singapura.
Wah, memang berbakat pelajar-pelajar SJPS ni. Tahniah sekali lagi Remaja ucapkan atas kejayaan yang diterima.
Sumber: (1)
Pelapis Kelas Antarabangsa! Nauraj Singh Randhawa Menang Emas Di Luxembourg

Semenjak atlet lompat tinggi senior negara, Lee Hup Wei mengumumkan dirinya tidak lagi akan menyertai Sukan Olimpik selepas ini biarpun baru berusia 34 tahun, rata-rata peminat sukan negara tertanya-tanya sama ada Malaysia mempunyai pelapis bagi acara lompat tinggi selepas ini.
Kita nampaknya telah mendapat jawapan bagi persoalan itu menerusi atlet kebangsaan, Nauraj Singh Randhawa.
Kelibat Nauraj tidak selalu dapat disaksikan di tanah air kerana atlet berusia 29 tahun ini memilih Jerman sebagai tapak latihannya. Bagaimanapun, beliau pernah mengharumkan nama negara dengan memperolehi pingat perak di Sukan SEA Filipina 2019.
Hari ini, Nauraj menyahut cabaran antarabangsa di kejohanan CAS di arena Stade Jean-Jacoby dekat Schifflange, Luxenbourg. Segala latihan yang dipersiapkan beliau, jurulatih dan pasukan sokongan di sana tampak membuahkan hasil apabila Nauraj berjaya memenangi pingat emas dengan lompatan 2.18 m!

Biarpun ini bukanlah catatan peribadi terbaiknya iaitu rekod lompatan 2.30m yang pernah dilakukan pada tahun 2017 di Kejohanan Terbuka Singapura, ia masih adalah satu persembahan yang wajar dipuji.
Untuk pengetahuan, Nauraj bukan lagi wajah baharu untuk menaiki podium dalam kejohanan bersiri yang dilangsungkan di benua Eropah. Pada bulan Jun lalu, anak kelahiran Johor ini pernah memenangi emas di Hungarian Grand Prix (GP) Series Tatabanya Championship dengan lompatan 2.27m. Ia juga merupakan lompatan terbaiknya pada musim ini.
Khabarnya, Nauraj akan meneruskan latihan di Jerman dan meneruskan usaha meningkatkan prestasi di sana memandangkan lebih banyak kejohanan olahraga dilangsungkan di benua tersebut.
#GirlPower: Srikandi Malaysia! Pearly Tan Dan M. Thinaah Juara Badminton Terbuka Perancis

Semangat juang pasangan beregu Pearly Tan dan M. Thinaah berjaya membuktikan yang mereka adalah kuasa baharu dunia badminton di Malaysia apabila berjaya memenangi saingan Terbuka Perancis sebentar tadi.
Menerusi kemenangan tersebut, pasangan beregu ini mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia memenangi acara tersebut yang telah pun diadakan sejak 1908.
Pasangan nombor 11 dunia itu menewaskan juara dunia dua kali dari Jepun iaitu Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara dengan catatan mata 21-19, 18-21 dan 21-15 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Paris.
ARTIKEL BERKAITAN: Emas Pearly & Thinaah Pastikan Malaysia Lepas Sasaran Sukan Komanwel 2022
Pada aksi yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin itu, Pearly Tan dan M Thinaah tidak memberi peluang kepada beregu Jepun dan berlawan habis-habisan biarpun diheret sehingga pusingan ketiga.
Kali terakhir Malaysia menang emas dalam acara Terbuka Perancis adalah pada tahun 2015 menerusi Datuk Lee Chong Wei. Prestasi tertinggi pasukan beregu wanita negara pula sebelum ini menerusi gandingan Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui yang menggondol gelaran naib juara pada 2008.
Kejuaraan di Paris kali ini adalah gelaran kedua buat Pearly Tan dan M. Thinaah dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Switzerland, tahun lalu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kasih Iris Leona Tidak Faham Cara Pemikiran Azhar Sulaiman, Selalu Tidak Sependapat

Pempengaruh, Kasih Iris Leona menegaskan bahawa tidak wajar sekiranya orang ramai menyamakan pendapat ayahnya yang juga pelakon terkenal, Azhar Sulaiman dengan pendapatnya sendiri dalam banyak perkara.
Biarpun pasangan anak-beranak itu selalu kelihatan akrab di media sosial, Leona, 22 juga mempunyai pendiriannya yang tersendiri terutama dalam isu-isu serius seperti pergolakan yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di Rafah, masa kini.

Menerusi ciapan di platform X, Leona berkata dirinya tidak berkongsi pandangan sama seperti Azhar dan berharap agar warganet hentikan kecaman yang dihadapi bertalu-talu sejak hari Rabu.
“..Saya sangat menentang Israel berikutan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Palestin.
“Saya tidak mempunyai pendapat yang sama dengan ayah saya dan gagal memahami cara dia berfikir.
“Jadi jangan menganggap hanya kerana kami mempunyai pertalian darah, kami akan ada pandangan yang sama,” ciapnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukannya Kecil Lagi, Kasih Leona Pernah Ditegur Azhar Sulaiman Untuk Berubah – REMAJA
Leona yang kini sedang melanjutkan pengajian sarjana muda dalam jurusan pengurusan di Universiti Bath, United Kingdom juga berkongsi pengalamannya sewaktu berkunjung ke Palestin dan melihat sendiri keadaan di sana dengan matanya sendiri biarpun di lokasi yang terkawal serta selamat.
“..Saya sedar kekejaman yang dilakukan Israel dan mengakui pembunuhan beramai-ramai itu telah bermula sebelum 7 Oktober (tahun lalu) lagi,” catatnya.
Terdahulu, Azhar Sulaiman dikecam teruk setelah mengeluarkan kenyataan kontroversi berkenaan rakan selebriti tempatan yang menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin.
Pelakon berusia 52 tahun itumencabar selebriti-selebriti terbabit agar berpindah ke Gaza, Palestin untuk membantu saudara seagama yang sedang berdepan serangan di sana.
Malah, beliau menggesa agar gerakan boikot tidak perlu dilakukan jika seseorang itu masih berada dalam keadaan gembira di Malaysia.
Begitupun, hantaran-hantaran beliau di Instagram itu telahpun dipadamkan olehnya setelah ruangan komen dihujani kecaman netizen.
BACA LAGI: “Saya Risau Leona Ni Jenis Hari-Hari Bodoh…”, Azhar Sulaiman Bimbang Karenah Anak Perempuan – REMAJA
SUMBER: X @kasihirisleona
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.