Mengimbau kenangan 16 tahun dahulu ketika menyertai pencarian Dewi Remaja 2002/2003, Pushpa Narayan berjaya meraih tempat kedua pada ketika itu bersama pemenangnya, Annahita Bakavoli dan pemenang tempat ketiga, Estelle Looi Mei Ling.
Walaupun setelah sekian lama meninggalkan pentas Dewi Remaja, Pushpa masih dengan rendah diri berterima kasih kepada Majalah Remaja dan Kumpulan Media Karangkraf kerana banyak membantu dan mengajar beliau ketika menyertai dunia hiburan, ketika menjadi sebutan ramai sampailah sekarang.
“Sampai ke hari ini, saya masih dijemput oleh pihak Nu Ideaktiv (dahulunya grup majalah Karangkraf) untuk menjayakan sesi penggambaran dan temu ramah. Terbaru adalah bersama Amber Chia dan Yana Samsuddin untuk cover majalah Mingguan Wanita bulan Ogos lalu,” katanya ketika sesi penggambaran video REMAJA.
Pushpa yang kini bergelar ibu kepada Rhea Rosa Robless dan Robert Richard sempat mengimbas kembali semasa beliau bertanding. “Corak pertandingan dulu dan sekarang sangat berbeza. Kami dulu tidak keluar TV, sekarang finalis bertuah apabila dikenali oleh masyarakat dengan pantas. Tambahan pula dengan kuasa media sosial.
“Tapi apa yang kekal adalah misi Dewi Remaja, dari dulu hingga sekarang.
“Pencarian Dewi Remaja berbeza dengan pertandingan ratu cantik lain kerana ia tidak berlandaskan paras rupa jelita semata-mata. Kami diberikan pelbagai tugasan untuk juri menilai semua finalis hingga ke peringkat final.
“Antara cabaran yang diberikan ialah tugasan cover magazine, modelling, catwalk, tugas pengacaraan dan banyak lagi. Cantik bukan sekadar rupa dan bakat saja. Personaliti itu penting,” kata beliau.
“Waktu itu kami lakukan photoshoot pada setiap bulan. Setiap finalis akan bergelar cover girl bulanan Majalah Remaja. So masa itu ada 24 finalis untuk melengkapkan isu selama 2 tahun.”
Tidak dinafikan, pencarian Dewi Remaja menjadi platform terbaik buat para gadis untuk meneruskan cita-cita, khasnya dalam dunia glamor. Namun menurut Pushpa Narayan, setiap peserta perlu bijak dalam mendepani masalah atau kontroversi yang melanda.
“Walaupun saya non Muslim, I still carry the name of Dewi Remaja. I have to think carefully of what i do, my behavior because I am representing Dewi Remaja. Whatever yang you buat akan menjadi contoh buat semua remaja di luar sana…”
Pelakon dan model ini juga sempat berkongsi bagaimana dia sangat enjoy pengalaman bersama Dewi Remaja 2002/03. Kru produksi pada ketika itu banyak memberi beliau pengalaman yang bagus dari segi cara berdepan dengan camera dan membiasakan diri berhadapan dengan orang baru.
“Dewi Remaja memberikan pengalaman dan mengajar erti confidence, dan selepas itu kami dapat memperbaiki cara membawa diri di dalam industri sebagai seorang public figure.”