Walaupun Dilanda Peperangan, Ukraine Tetap Lantik Wakil Baharu Ke Pertandingan Miss Universe

Share

Seperti yang kita tahu Ukraine dan Rusia masih lagi berada dalam kancah peperangan, pergolakan yang terjadi di antara kedua-dua buah negara eropah ini menjadi perhatian perhatian dunia.

Walaupun kerajaan dua negara ini memiliki agenda tersendiri, namun walau apapun tujuannya insan yang paling terkesan semestinya rakyat. Sektor ekonomi  menjadi lumpuh dengan segala kekacauan yang berlaku.

Namun begitu, peperangan tidak menghalang organisasi Miss Ukraine Universe melantik wakil negara yang baharu untuk ke pentas Miss Universe. Tidak mengadakan pertandingan seperti tahun sebelum ini, sebaliknya mereka sebulat suara membuat pemilihan secara dalaman bagi memilih wakil terbaharu.

Sehubungan itu, Viktoria Apanasenko yang merupakan naib juara Miss Ukraine Universe 2021 telah dilantik sebagai Miss Ukraine Universe 2022. Wanita berusia 28 tahun ini merupakan seorang pergawati dan juga sukarelawan, bukan sekadar cantik, dia memiliki ijazah dalam bidang kerja sosial daripada Fakulti Psikologi di Taras Shevchenko National University of Kyiv.

BACA JUGA: Juara Vietnam Next Top Model Musim Ketujuh Kini Bergelar Miss Universe Vietnam 2022

Sepanjang perang yang berlaku di negaranya, dia mengambil inisiatif untuk memulakan kempen bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan dan juga bekerjasama untuk membekalkan makanan kepada tentera Ukraine.

Menerima berita yang dia dilantik sebagai Miss Ukraine Universe yang baharu ketika sedang melakukan aktiviti kesukarelawanan, Viktoria berkongsi rasa di media sosial. Ujarnya, “Ini merupakan impian saya sejak kanak-kanak. Mungkin untuk pertama kalinya selama ini, saya menangis kegembiraan.

“Sepanjang melakukan kerja sebagai sukarelawan, melihat ke dalam mata rakyat Ukraine, saya nampak kekuatan yang mengagumkan. Perkara ini memotivasikan saya untuk berjuang di pentas Miss Universe.”

Menerusi penyertaannya di dalam pertandingan ini, oragnisasi Miss Ukraine Universe berharap agar membuka mata dunia mengenai konflik yang sedang berlaku di negara itu sekaligus membuka ruang untuk mereka meraih lebih banyak bantuan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber & Kredit foto: Instagram Viktoria Apanasenko

Published by
Fiezreen