Nampak glamor, tetapi kehidupan di bawah spotlight tidak sentiasa indah.
Lebih-lebih lagi jika korang adalah public figure seperti Miss Malaysia Universe 2018, Jane Teoh yang bakal mewakili negara ke peringkat akhir pertandingan Miss Universe kelak.
Sejak kemenangan Jane pada Januari lalu, ada saja ‘suara negatif dan kadangkala kedengaran kurang beradap’ yang muncul di setiap posting Instagram yang dimuat naik oleh Jane. Seakan tidak berpuas hati dengan pemilihannya ke pentas dunia, bukan komen konstruktif yang diberi – hanya menyalak saja yang dilakukan oleh sebahagian kecil ‘pengikutnya’.
Lalu penulis bertanya kepada Jane baru-baru ini, bagaimana dia menghadapi isu buli siber SETIAP HARI?
“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah fokus kepada diri sendiri terlebih dahulu. Saya ambil masa yang ada ini untuk memperbaiki kelemahan diri. Mengenai komen negatif tersebut, saya tolak ke tepi saja kerana saya tidak boleh menutup mulut mereka.
“Isu buli siber terutamanya yang melanda wanita di Malaysia ini berkait rapat dengan isu women empowerment sesama kita. Untuk hentikan isu buli siber dan diskriminasi wanita, ia perlu hadir daripada kaum wanita sendiri.
“Saya juga selalu ingatkan kepada diri sendiri. Buang rasa tidak puas hati, rasa cemburu dan sokonglah agenda positif yang wanita bawakan agar lelaki dapat melihatnya dan belajar daripada kita,” kata Jane yang juga merupakan salah seorang penghias cover Majalah Remaja, kali ini.
* * * * *
Ada benarnya apa diperkatakan oleh Jane. Jika kita tak habis-habis ingin menjatuhkan sesama sendiri, sampai bila kita boleh ke hadapan.
Lihat saja pada negara luar, mereka sebolehnya ingin wakil negara berjaya di peringkat antarabangsa. Mengapa tidak kita berikan sokongan padu kepada wakil negara kita sendiri. Mencaci saja tidak akan membantu menyelesaikan apa-apa.
Remaja menyokong Jane untuk menggunakan platform Miss Malaysia Universe ini agar dia boleh menyampaikan mesej positif kepada remaja muda dan sebaya usianya.
Katakan tidak kepada buli siber!