“Walaupun Orang Terdekat Negatif, Kamu Masih Boleh Dijangkiti” – Miss Universe Malaysia Akui Positif COVID-19

Share

 

Dengan jumlah kes positif COVID-19 baharu yang semakin meningkat sehingga mencecah angka 4000 kes sehari, salah seorang personaliti terkenal tempatan turut tidak terkecuali dijangkiti wabak tersebut.

Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James semalam menerusi muat naik di Instagram telah mengesahkan dirinya disahkan positif COVID-19 hampir tiga minggu yang lalu. Namun kini, dia telahpun pulih sepenuhnya.

Sumber Foto: Instagram @francisca.luhong.

REMAJA menerusi sesi live #RemajaDengarKata bersama Fran sebentar tadi mengupas serba sedikit berkenaan pengalamannya berhadapan dengan berita tersebut.

“Semasa mendapat keputusan dan disahkan positif COVID-19, tentunya saya merasa cemas dan terkejut kerana saya telah melakukan sehabis baik untuk mematuhi SOP, menjauhi lokasi ramai orang, sanitize

selalu dan menjaga kebersihan selalu. Malah bila tidak mempunyai tugasan, saya hanya akan duduk di rumah.

“Saya sendiri tidak pasti bagaimana saya boleh dijangkiti kerana rakan-rakan saya yang juga melakukan ujian disahkan negatif. Orang pertama yang saya hubungi ialah ibu saya. Kami bercakap panjang dan saya juga terus memberitahu kepada Datin Elaine Daily (pengarah Miss Universe Malaysia Organization). Beliau menenteramkan saya dan meminta saya untuk kekal kuarantin dan berehat.

“Saya tidak mempunyai apa-apa simptom seperti batuk dan demam. Syukur, semuanya berjalan lancar dan saya merasa semakin sihat sekarang.

“Pada mulanya, saya tidak pasti sama ada berita ini perlu dikongsikan secara terbuka kerana saya tahu akan ada kritikan yang hanya akan memburukkan keadaan.

“Selepas mendapat nasihat beberapa pihak, saya putuskan untuk berkongsi kisah ini supaya orang ramai semakin sedar bahawa sesiapa saja boleh dijangkiti, sama ada dia mempunyai simptom ataupun tidak. Walaupun orang terdekat di sekeliling negatif, kamu masih boleh dijangkiti.

“Ia juga membuatkan saya sedar kepentingan untuk terus duduk di rumah sepanjang musim PKP ini. Saya luangkan lebih masa untuk bersenam dari rumah serta menghubungi keluarga dan rakan-rakan melalui panggilan telefon,” jelasnya. Selepas 10 hari kuarantin, Francisca membuatkan ujian SWAB kedua dan ia disahkan negatif.

Walaupun begitu, dia terus kuarantinkan diri di rumah, mengambil suplemen serta vitamin secukupnya dan mengambil nasihat doktor untuk meminum air lemon suam pada setiap hari bagi memberi lebih tenaga kepada tubuh badan.

Sambil itu, dia juga mengelakkan diri tidur di bawah angin pendingin hawa, memasak makanan yang tinggi dengan kandungan alkali dan memanaskan diri menerusi senaman ringan di rumah. Kesemua aktiviti ini demi memastikan dirinya sibuk di rumah dan tidak terlalu memikirkan tentang wabak yang dihidapinya.

Pada hemat penulis, pengalaman Francisca ini sebenarnya adalah sesuatu yang berharga buat wakil Malaysia ini untuk dikongsikan kepada masyarakat dunia.

Sebagai seorang COVID-19 survivor dan ratu cantik, mesej penjagaan kesihatan dan keselamatan amatlah dekat dengan dirinya.

Saksikan temuramah penuh penulis bersama Francisca Luhong James di bawah untuk mengetahui lebih tentang pengalamannya melawan wabak COVID-19, persediaannya berdepan pertandingan Miss Universe 2020, mengenai advokasinya melalui kempen Women Rise dan sedikit mengenai kostum nasional yang sedang dalam proses rekaan serta pembuatan.

Published by
FZ