Berita

Wan Zarif Rangkul Gelaran Juara Masters Remaja Asia

Share

Atlet negara, Wan Zarif Ikram kembali mengukir senyuman buat pasukan negara selepas tujuh (7) tahun apabila menuai pingat emas menerusi acara Masters lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, 22 Jun lalu.

Atlet berusia 17 tahun itu membuat penampilan kedua pada kejohanan berkenaan menumpaskan Jovi Ma dari Hong Kong (385 mata) setelah merekodkan keseluruhan 427 jatuhan pin, manakala pingat gangsa acara sama dimenangi rakan senegara, Ethan Damien Goh.

Wan Zarif yang merupakan atlet pelapis, mengakui turun dengan mentaliti juara membantu dirinya mengungguli podium di hadapan peminat sukan tenpin boling tanah air.

“Saya tak sangka sebab dari hari pertama kerja keras untuk acara individu tetapi tidak menjadi. Memang ada kekecewaan namun saya berjuang hingga ke akhirnya. Alhamdullilah hari ini, dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan”

“Selepas ini saya akan sertai Sukan Malaysia (SUKMA) dan menjadi wakil Terengganu. Saya sasarkan acara Single, All Events dan Masters”

Sementara itu, jurulatih skuad remaja kebangsaan, Alex Liew menyatakan rasa gembira apabila anak buahnya menyerlah dalam acara berkenaan yang kali terakhir dimenangi Tun Hakim pada edisi Kuching, Sarawak 2017.

“Kami ingatkan Wan Zarif untuk kekal tenang dan jangan terburu-buru. Dia melakukannya dengan baik dan saya gembira dengan keputusan keseluruhan. Saya kecewa dengan acara berpasukan sebelum ini sebab kita mempunyai masalah dan ini seperti membayar balik dengan dapatkan pingat emas,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menutup kempen edisi ke-23 dengan tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.

Sebelum ini, Malaysia memenangi dua pingat emas menerusi acara All Events wanita yang diwakili Afiqah Kamilia Ali, selain atlet berusia 18 tahun itu membantu Intan Nor Edryana Nor Azliman, Nur Ainul Hayat Ad Nor dan Adelia Nur Irwan Syazalee menjuarai acara berpasukan wanita.

Dua pingat perak pula disumbang Intan Nor Edryana (All Events wanita) dan Malaysia B yang diwakili Amin Zulkarnain Zulkifli, Eldred Kho Yek Zhen, Muhammad Aiman Syahin dan Muhammad Aqil Faizal menerusi acara berpasukan lelaki.

Tiga pingat gangsa pula diperolehi menerusi Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Master lelaki serta Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi (individu wanita).

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE