Wang RM2.8 Juta Dimasukkan Ke Akaun Zizie, Didakwa Suapan Pelaburan Unit Amanah

Share

Pasangan suami isteri ini antara yang sering mendapat perhatian masyarakat.  Baru saja melahirkan anak ketiga pada 1 Mac lalu, hari ini pelakon Datin Seri Zizie Izette dan suaminya, ahli  Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra), empat tahun lalu.

Pastinya berita sebegini amat mengejutkan masyarakat. Sejak dua hari lepas di mana  keduanya dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan menerima rasuah, di media sosial rata-rata peminat-peminat meminta pasangan ini bersabar di atas ujian Allah.

Pagi ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,  Bung Mokhtar, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bung Mokhtar dan isteri, Zizie didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta namun keduanya mengaku tidak bersalah. Gambar Malaysiakini

Bung Mokhtar yang berada di dalam kandang tertuduh itu berkata, “Saya mengaku tidak bersalah dan ingin bicara.”

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Bung Mokhtar didakwa sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad telah secara rasuah memperoleh wang suapan keseluruhan RM2.8 juta melalui isterinya Zizie Izette, 41, sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesemua wang itu diberi oleh dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, dan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) yang mana akaun itu di bawah nama Zizie Izette.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melewati, Kuala Lumpur, antara 12 hingga 19 Jun 2015.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) yang boleh dihukum mengikut subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan ikat jamin RM100,000 kepada tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk K Kumarendran yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah ikat jamin yang dikenakan termasuk syarat pasport itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes dan pasport milik tertuduh diserahkan sehingga kes selesai. Sumber : HARIAN METRO

Pasangan suami isteri ini yang didakwa hari ini selepas didakwa menerima suapan RM2.8 hasil pelaburan  FELCRA ke  unit amanah Public Mutual Berhad

Sementara itu, MALAYSIA KINI

melaporkan isterinya, Zizie Izette A Samad  turut didakwa dengan tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Zizie mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasportnya harus diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Azura menetapkan 10 Jun sebagai sebutan semula dan kes akan dibicarakan secara bersama dengan kes suaminya.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros