Wanita Berhijab Wakili Malaysia Ke Pertandingan Miss Culture World International 2022

Share

Ketika ini sedang berlangsungnya pertandingan ratu cantik bertempat di Vietnam. Pertandingan Miss Culture World International 2022 ini merupakan sebuah pertandingan yang baru sahaja diwujudkan dan edisi kali ini merupakan kali kelima ia diadakan.

Walaupun pertandingan ini tidak sepopular pentas ratu cantik lain seperti Miss World, Miss Universe, Miss International, Miss Earth atau Miss Grand International, namun semangat yang ditonjolkan oleh para peserta harus dipuji. Masing-masing tampil menarik dan yakin menggalas tugas membawa nama negara.

Semestinya Malaysia tidak ketinggalan menghantar wakilnya. Apa yang menarik tentang wakil dari negara kita, wanita berusia 27 tahun ini merupakan seorang yang mengenakan hijab. Pemilik nama Wawa Zubir yang berasal dari Pahang ini telah dipilih untuk mewakili Malaysia.

Dalam tinjauan REMAJA di laman Instagramnya, wanita tinggi lampai ini berkongsi, “Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Luit, Maran, Pahang. Dan saya merupakan anak bongsu daripada enam adik beradik.”

BACA LAGI: Dr Kajel Kaur Dinobat Sebagai Miss Earth Malaysia 2022. Fokus Isu Pembaziran Makanan Dan Masalah Haiwan Terbiar

Dia yang sudah pun berada di Vietnam telah berlepas ke negara itu pada Rabu lalu.

“Saya akan berangkat ke Vietnam pada 6 April 2022, pada awal pagi iaitu pada jam 6.55 pagi waktu Malaysia. Saya akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Culture World International 2022 di Ho Chi Minh City, Vietnam,” jelasnya dengan lebih lanjut di laman Instagramnya.

Apabila mewakili negara, semestinya sikap juang yang ada dalam diri perlu membara. Wawa juga tidak kurang memohon doa agar sokongan yang diberi mampu menguatkan semangat. Ujarnya, “Saya memerlukan sokongan dan sorakan dari kalian. Dengan sokongan dan sorakan kalian, ia akan menguatkan lagi semangat saya untuk bawa nama Malaysia dan hijabi. Demimu Malaysia!”

Wah, nampaknya semangat Wawa sebagai ratu cantik tidak luntur biarpun pertandingan ini dianjurkan dalam bulan Ramadan. Semoga berjaya mencapai cita-cita dan membanggakan nama negara.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber & Kredit foto: Instagram Wawa Zubir

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen