Kebanyakan rakyat di Malaysia menyambung pelajaran ke peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika berusia 18 tahun.
Kebiasaannya, seseorang individu itu mengambil masa dalam empat atau lima tahun untuk menghabiskan pelajaran mereka mengikut bidang yang diambil. Kebanyakan mereka akan memulakan kerjaya di usia sekitar 23 atau 24 tahun selepas menggenggam segulung ijazah.
Namun, menuntut ilmu tidak pernah terikat dengan peringkat umur kerana jika seseorang itu ingin menyambung pelajaran dan mempunyai kelayakan, maka mereka boleh terus belajar tanpa ada had umur.
Contohnya seperti seorang warga emas dari Palestin yang dikenali sebagai Jihad Butto ini, di usia 85 tahun dia berjaya menamatkan pengajian dan mendapat Ijazah daripada Kfar Bara Center for Islamic Studies.
Wanita tersebut memasuki institusi itu empat tahun lepas, ketika usianya 81 tahun dan mengambil kursus bahasa, agama dan matematik.
Jihad Butto terpaksa berhenti belajar pada tahun 1948 ketika di usia 12 tahun, namun cintanya kepada ilmu tidak pernah hilang.
“Saya pernah ada peluang untuk belajar. Bila saya dengar ada peluang untuk menimba ilmu, saya terus pergi.
“Sebelum saya memohon untuk ke Kfar Bara, orang di sekeliling saya tahu bagaimana saya cintakan pendidikan dan saya selalu membaca buku.
View this post on Instagram
“Ada yang beritahu saya tentang sijil Kfar Bara dan tanya kalau saya mahu menyertainya. Saya kata di mana sahaja ada ilmu, saya pasti akan pergi,” jelasnya.
Selepas memasuki pusat pengajian, dia terus maju ke hadapan sehingga memperoleh Ijazah pada usia 85 tahun.
Dengan ilmu yang diperoleh, Jihad Butto kini mencurahkannya kepada wanita di kawasannya pula dengan mengajar mereka beberapa topik pelajaran.
Kisah wanita hebat ini seharusnya menjadi contoh teladan yang baik buat anak muda kerana warga emas juga mampu menyambung pelajaran dan berjaya menggenggam segulung ijazah. Ini membuktikan bahawa umur tidak menjadi penghalang, apa lagi bagi mereka yang masih muda pasti boleh melakukannya dengan lebih baik.
Sumber: (1)