Wanita Maut Digilis, Malaysia Dilanda Ekor Taufan Lekima Yang Catat Kelajuan 100.8 km Sejam

Share

Di saat umat Islam menantikan sambutan hari raya korban atau disebut Hari Raya Haji yang akan disambut esok, semalam negara diuji dengan berita sedih apabila berlakunya tiupan  angin kencang yang melanda negeri-negeri di utara tanahair.

Dalam kejadian semalam, Taufan Lekima yang membadai timur negara China turut membawa tempias ke negara-negara berdekatan seperti Thailand dan Malaysia apabila ekor taufan berkenaan menghempas negeri-negeri di Utara malam tadi.

Memetik laporan berita Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian ribut di beberapa negeri utara tanah air disebabkan ekor Taufan Lekima yang membadai timur negara China.

Taufan Lekima mengakibatkan banyak zink berterbangan selain pokok tumbang di beberapa kawasan
Banyak kenderaan musnah dalam video-video yang mulai tersebar malam tadi. Ini antara sebahagian kenderaan yang rosak ditimpa pokok tumbang

Ketua Pengarahnya Jailan Simon, ketika dihubungi Astro AWANI

, berkata garis badai itu berlaku akibat tumpuan angin di selatan Thailand yang turut menerima kesan sama.

“Apa yang berlaku sebenarnya adalah kita panggil garis badai adalah garisan ribut petir akibat tumpuan angin barat daya dan barat laut di tengah laut berpunca ribut tropika berlaku di timur China.

“Di selatan Thailand berlaku tumpuan angin menyebabkan garis badai ini. Ia bergerak daripada barat laut ke arah tenggara dan mengenai beberapa kawasan di Kedah dan Langkawi.

“Kelajuan yang dicatatkan setakat ini 28 meter per saat bersamaan 100.8 kilometer sejam. Bagaimanapun gelombang kedua bergantung kepada kedudukan taufan. Ketika ini MetMalaysia tidak menjangka gelombang kedua kerana kebiasaannya ia berlaku sekali sahaja,” jelasnya.

Banyak barangan peniaga kecil terbalik dan masing-masing menanggung kerugian besar

Kejadian kira kira jam 8 malam Jumaat itu membadai beberapa kawasan antaranya di Langkawi, Alor Setar Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Ekoran kejadian tidak terduga ini, seorang wanita maut apabila  motosikal yang ditungganginya terkena sekeping zink besi yang diterbangkan ribut di depan Masjid Sharifah Fatimah, Batu 13, Jitra, malam tadi.

Marziah Che Omar yang menaiki motosikal maut apabila digilis sebuah kereta ketika pandangan pemandu kereta tertutup akibat kejadian zink terbang di Jitra

Mangsa, Marziah Che Omar,27, yang menunggang bersendirian terjatuh selepas terkena zink besi terbabit sebelum digilis sebuah kereta yang berada di bahagian belakang motosikalnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata kejadian berlaku ketika angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan terbabit.

Katanya, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 62 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Batu 13 menghala ke bulatan Jitra.

“Angin yang kuat menerbangkan sekeping zink besi yang terkena mangsa dan menyebabkan mangsa jatuh. Zink yang sama kemudiannya mengenai dan menutup cermin depan kereta yang berada di belakang motosikal mangsa. Ia menyebabkan pemandu tidak nampak apa-apa lalu tergilis mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemandu yang tidak cedera kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Jitra.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. (Sumber : Sinar Harian)

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros