Lagak bagai di negara sendiri.
Hanya kerana ditahan untuk disoal siasat arah tujuan oleh pihak berkuasa kerana bebas berkeliaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang anggota polis ditumbuk berkali-kali oleh seorang warga Indonesia.
Harian Metro melaporkan, seorang lelaki warga asing ditahan kerana menumbuk muka seorang anggota polis dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, dalam kejadian 9.15 pagi itu, anggota polis terbabit menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) di persimpangan Sekolah Antarabangsa Arab, Presint 14.
Beliau berkata, lelaki Indonesia berumur 45 tahun itu berjalan kaki dan ingin melintasi jalan berkenaan telah dipanggil untuk disoal siasat.
“Akibat tumbukan itu, anggota polis itu cedera di kening dan jari serta diarahkan mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya.
“Suspek turut melawan dan bergelut sehingga memaksa anggota bertugas menggunakan kekerasan bagi menahan lelaki berkenaan,” katanya.
Rosly berkata, suspek mengalami calar di bahagian muka ketika pergelutan disebabkan terjatuh ke atas jalan raya.
Katanya, suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri sah dan mendakwa bekerja sebagai kontraktor landskap serta tinggal di Kampung Dato Abu Bakar Baginda.
“Suspek memberi alasan tidak munasabah dan keluar rumah untuk berjalan-jalan serta gagal memberitahu arah tujuan.
“Lelaki berkenaan ditahan di Balai Polis Putrajaya kerana mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam dan melanggar PKP di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Akta Imigresen,” katanya.