Bencana banjir kilat, tanah runtuh dan kerosakan harta benda yang berlaku sepanjang tiga hari ini telah menjadi topik perbualan segenap lapisan masyarakat di Malaysia.
Bagi yang berdepan dengan situasi runcing di lokasi masing-masing seperti kediaman dinaiki air atau kenderaan terperangkap di lebuh raya, platform media sosial-lah yang menjadi tempat meluahkan kisah dan perasaan.
Bagi yang membaca dan melihat video serta foto yang dikongsikan olah warganet lain pula, rasa simpati dan empati pantas menyelubungi diri.
ARTIKEL BERKAITAN
: Kisah Terperangkap Di Lebuh Raya Karak Penuhi Media Sosial, Termasuk FIZO OMAR – REMAJABanyak pihak yang secara sukarela menawarkan bantuan tanpa mengharapkan balasan. Antara pihak yang tampil ke hadapan ialah pihak taman tema terkenal, Sunway Lagoon.
Tanpa menghebahkan kepada pihak media mengenai usaha yang mereka lakukan ini, pengendali akaun Twitter Sunway Lagoon terpanggil dengan sahutan warganet yang mengharapkan agar mereka menghulurkan bantuan seperti pelampung kepada insan yang terkesan dengan bencana banjir.
Lantas, Sunway Lagoon membalas semula ciapan tersebut dengan menyertakan foto-foto di sebalik persediaan yang sedang mereka lakukan untuk menghantar bantuan.
Antara barangan yang kelihatan termasuklah sampan, payung dan apa yang kelihatan seperti pelampung (yang belum diisi angin) atau jaket keselamatan.
“Kami telah menghantar barangan keperluan dan memberikan bantuan kepada pasukan penyelamat. Kumpulan Sunway telah menghantar bantuan sejak malam tadi. Selain itu, kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan kemas kini terkini,” catat mereka.
Tindakan Sunway Lagoon untuk membantu mangsa bencana ini serta-merta menerima pujian warganet yang beranggapan mereka sensitif terhadap nasib rakyat.
“Terima kasih Sunway Lagoon, daripada semua rakyat.”
“Serius, memang mantaplah Sunway Lagoon.”
“Tak sia-sia kita orang support Sunway Lagoon selama ini.”
“Terima kasih kerana selalu ada bersama kami.”
Kudos Sunway Lagoon! Malah ada yang berjanji untuk ke taman tema tersebut pada musim cuti semester yang akan menjelang tidak lama lagi demi membalas semula kebaikan mereka ini.
Teruskan hulurkan bantuan sedaya mungkin bagi meringankan beban rakan-rakan kita yang sedang bergelut dengan kesan bencana banjir sekarang.
BACA LAGI : Ini Cara Untuk Buat Tuntutan Insurans Bagi Kereta Ketika Musim Banjir – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.