Salah satu bangunan bersejarah bagi umat Islam ialah Masjid Besar Cordoba. Masjid tersebut sebenarnya telah dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1984.
Tidak dinafikan, bangunan Masjid Besar Cordoba yang dibina antara abad kelapan dan ke-10 ini mempunyai sejarah yang menarik, daya tarikan seni bina yang unik dan menawan, kerana dibina di atas tanah bekas gereja.
Masjid Besar Cordoba dilaporkan menerima lebih dua juta pengunjung tahunan dan akibat menerima pengunjung dan pelancong tahunan yang tidak terkawal. Lapor Arab News, masjid itu berdepan masalah pemeluwapan akibat jutaan pelancong yang mengunjungi monumen tersebut pada setiap tahun.
Keadaan kritikal monumen itu didedahkan dalam satu laporan yang dikemukakan kepada kerajaan.
Laporan itu turut mendapati pemeluwapan merosakkan beberapa bahagian utama masjid tersebut. Pemeluwapan didapati merosakkan mihrab ikonik masjid itu yang menghadap ke arah Makkah
“Masalah itu berlaku disebabkan oleh konfigurasi seni bina khas ruang dan pengudaraan yang tidak mencukupi.
“Haba dalam badan yang dikeluarkan pelancong menyebabkan kerosakan. Penyejatan itu menyebabkan beberapa bahagian terjejas sekali gus menyumbang kepada kerosakan tersebut,” jelas laporan itu.
Untuk info, Masjid Cordoba yang dibina semasa kerajaan Islam menguasai Sepanyol khasnya wilayah Cordoba. Tapak asal binaan itu pada asalnya merupakan sebuah gereja orang Visigoth yang dibeli oleh Abdul Rahman 1 selepas dia dan tenteranya menguasai wilayah tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia