Sebelum ini namanya disebut-sebut selepas kemunculan watak Arif dalam drama bersiri Cari Aku Di Syurga dan kini, Hun Haqeem sekali lagi menjadi bualan apabila watak Jekfer yang dipegang olehnya berjaya mendapat tempat di hati penonton menerusi drama Kampung People.
“Sejujurnya saya betul-betul tak sangka drama Kampung People mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton. Teringat waktu masa mula-mula masuk dalam set penggambaran dulu, saya rasa sangat nervous kerana pertama kali berlakon dalam drama komedi,”
“Kalau ditanya apakah cabaran yang paling sukar semasa di set penggambaran Kampung People, saya sebenarnya tidak menyangka bahawa cabaran paling besar adalah untuk menahan gelak. Korang bayangkan macam mana nak tahan gelak dengan scene-scene lucu yang ada tu, jadi itulah merupakan cabaran paling susah untuk saya berlakon bersama mereka,” jelasnya sambil tertawa.
Memiliki wajah tampan dan berkulit cerah, Hun yang juga merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur pada awalnya agak gementar untuk membawakan watak orang kampung. Namun begitu, dia menyahut cabaran ini untuk membuktikan bahawa dia mampu untuk menggalas pelbagai watak yang diberi.
“Pada mulanya bila pihak produksi memberi tawaran watak Jaafar ini, saya rasa agak ragu-ragu juga sebab boleh ke saya bawa watak seorang lelaki kampung? Namun, tugas ini saya galas dengan membuat research serba sedikit tentang cara percakapan dan tingkah laku mereka, Alhamdulillah waktu Jaafar atau Jekfer diterima baik oleh semua orang.”
Dah jadi kebiasaan apabila pelakon lelaki mendapat perhatian golongan wanita, lebih-lebih lagi para remaja. Tapi menurut Hun, dia juga terkejut apabila Jekfer turut menjadi bualan seluruh lapisan masyarakat.
“Susah nak cakap target audience drama ni sebab saya rasa ia bukan hanya ditonton oleh golongan perempuan, tapi kalau ada yang terjumpa saya diluar sana, ramai juga parents’ yang menegur dan paling tak sangka, abang Food Panda pun kenal saya sebagai Jekfer. Katanya dia pun tengok Kampung People. Hehe,” jelas Hun lagi.
Minggu ini merupakan minggu akhir bagi tayangan drama viral ini. Pasti ramai yang akan merindui telatah orang Kampung Sinaran Baru.
“Hun nak ucapkan terima kasih kerana menonton dan menyokong lakonan saya, serta support drama Kampung People. Sejujurnya saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua. Korang memang awesome!”