
Antara filem yang ditunggu-tunggu oleh para pencinta filem Marvel Cinematic Universe (MCU), Captain America: Brave New World sudah pun mula beraksi di pawagam. Filem ini, memaparkan aksi menakjubkan Sam Wilson yang dilakonkan oleh Anthony Mackie bagi misi menyelamatkan dunia sebagai pengganti kepada Steve Rogers (Chris Evans), selepas mengambil keputusan untuk bersara dalam filem Avengers Endgame (2019).
Dalam #WayangRemaja kali ini, meh kami kongsikan ringkasan sinopsis dan beberapa fakta menarik yang boleh korang baca sebelum mula menonton Captain America: Brave New World bersama keluarga dan rakan-rakan di pawagam.
SINOPSIS
Kisah ini bermula apabila Sam Wilson bertemu dengan Thaddeus Ross (Harrison Ford) yang baru dilantik sebagai presiden baru Amerika. Dalam pertemuan itu, Sam tanpa diduga menemui maklumat mengejutkan yang sebenarnya menyebabkan dia terlibat dalam insiden besar yang mengancam keselamatan dunia.
Plot filem Captain America: Brave New World hangat selepas Ross menyatakan hasrat untuk membuat perjanjian dengan negara maju mengenai penggunaan sumber baharu, adamantium yang dikatakan mempunyai kekuatan yang menakjubkan dan tiada tandingan.
Oleh itu, Ross meminta Sam membentuk pasukan Avengers baharu untuk membantu melindungi sumber ini dan supaya ia boleh digunakan dengan betul. Sehingga akhirnya, Sam terlibat dalam beberapa peristiwa besar yang mengganggu dunia dan menghapuskan keamanan dan ketenangan hasil usaha yang cuba dikekalkan oleh Captain America dan Avengers.
KEMUNCULAN RED HULK, ADAMANTIUM
Ini merupakan penampilan Red Hulk kali pertama dalam filem MCU. Watak Red Hulk dijayakan oleh Harrison Ford yang memainkan peranan sebagai Thaddeus ‘Thunderbolt’ Ross, menggantikan mendiang William Hurt.
Selain itu, Adamantium turut diperkenalkan dan ia adalah sejenis logam yang mempunyai kekuatan lebih besar daripada Vibranium Wakanda. Difahamkan, Adamantium ditemui di Lautan Hindi, peninggalan Celestials yang digambarkan dalam filem Eternals yang pernah ditayangkan sebelum ini.
TAJUK FILEM YANG DIGANTI
Judul asal Captain America: Brave New World sebelum ini adalah Captain America: New World Order. Namun, disebabkan beberapa faktor, dan salah satunya kerana tajuk New World Order sebelum ini dianggap terlalu dekat dengan anti-semitisme, Marvel mengambil keputusan untuk mengubah judul filem ini kepada Brave New World.
NO MORE STEVE ROGERS…
Captain America: Brave New World adalah filem siri Captain America pertama tanpa penampilan Steve Rogers yang pernah dilakonkan oleh Chris Evans. Meskipun namanya sering disebut, wajah Steve sememangnya tidak ditonjolkan sepanjang tempoh filem tersebut. Ini juga menandakan era baru untuk Marvel dengan Anthony Mackie sebagai Captain America.
Nah! Bagi korang yang memang gemarkan filem aksi Marvel sebelum ini, mungkin boleh mula menonton Captain America: Brave New World di mana-mana pawagam terdekat sebab ia sudah pun ditayangkan mulai 13 Februari.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.