Sejak kemunculan Ariana Grande, Cynthia Erivo dan Tan Sri Michelle Yeoh di karpet merah Anugerah Oscars awal tahun ini, kempen promosi filem muzikal, Wicked sememangnya kencang berlaku hingga membuatkan penonton di seluruh dunia ternanti-nantikan kemunculan filem tersebut di pawagam.
Akhirnya setelah berbulan-bulan penantian, Wicked bakal ditayangkan pada 22 November ini. Jalan cerita klasik yang dipetik daripada persembahan pentas teater nombor satu di United Kingdom ini mengisahkan tentang dua pelajar sekolah ahli sihir yang bersahabat biarpun masing-masing mempunyai latar kehidupan berbeza.
Gadis berkulit hijau, Elphaba masih mencari jati dirinya sewaktu bergelar pelajar di Shiz University, Land of Oz. Di situlah Elphaba menemui Glinda sehingga mereka menjadi bestie dan berusaha mengenali diri masing-masing.
Wicked sebenarnya sudah lama bergelumang dalam fasa produksi. Antara punca utam penangguhannya adalah musim COVID-19 yang memaksa kerja-kerja produksi dihentikan buat sementar waktu.
Tapi korang tidak lagi perlu menunggu lama. Nah! REMAJA kongsikan beberapa fakta filem Wicked sebelum korang jejakkan kaki ke pawagam berdekatan minggu ini.
Sebelum ia muncul dalam bentuk filem, Wicked asalnya merupakan karya novel Gregory Maguire yang ditulis pada tahun 1995. Kemudian, ia direalisasikan sebagai persembahan teater muzikal arahan Stephen Schwartz dan Winnie Holzman dengan judul yang sama.
Wicked terus diangkat menjadi filem selepas Jon M. Chu (Crazy Rich Asian, Now You See Me, dan G.I. Joe: Retaliation) dirisik untuk mengarahkan sebuah filem adaptasi bagi peminat Wicked manakala jalan ceritanya ditulis oleh Winnie Holzman sendiri.
Projek filem ini telah ‘dibocorkan’ oleh Stephen Schwartz seawal Mei 2017 apabila beliau mengharapkan dua buah lagu baru akan diterbitkan untuk filem Wicked.
Hampir dua tahun kemudian pada 8 Februari 2019, barulah pihak Universal Pictures mengumumkan filem Wicked sedang diterbitkan dan akan ditayangkan pada 22 Disember 2021.
Bagaimapaun disebabkan wabak Covid-19, Wicked terpaksa ditunda. Menambah dugaan Wicked di sebalik tabir adalah apabila pengarah asal filem, Stephen Daldry mengundurkan diri dan digantikan dengan Jon M. Chu.
Teraju utama Wicked, Ariana Grande dan Cynthia Erivo dipilih sebagai pelakon utama pada November 2021. Berita itu tersebar selepas penyanyi We Can’t Be Friends itu memuat naik gambar sedang menjalani latihan bersama Cynthia.
Tidak disangkal lagi, Wicked mempunyai bajet yang cukup besar apabila ia diterajui deretan bintang-bintang Hollywood ternama. Bukan sahaja Wicked kini dinanti-nantikan oleh peminat filem fantasi muzikal, malah peminat pelakon-pelakon terkenal ini juga tidak sabar untuk melihat kelibat idola mereka.
Biarpun tayangan filem Wicked pada minggu ini belum pun bermula, produksi sudahpun mengumumkan kemunculan bahagian kedua Wicked yang akan ditayangkan pada tahun 2025.
Memetik kenyataan Stephen Schwartz, “Sewaktu kami melakukan penggambaran, kami ambil keputusan untuk membahagikan filem ini kepada dua bahagian kerana kami tak dapat memasukkan kesemuanya ke dalam satu filem. Ia akan menjadi terlalu lama.
“Kami tidak rasakan penonton ingin duduk selama 4 jam semata-mata untuk menonton sebuah filem. Jadi, kami bahagikannya. Tapi jangan risau kerana sebahagian besar daripada penggambaran kami sudah selesai,” ujarnya.
Watak Glinda lakonan Ariana Grande memang menjadi watak idaman ramai pelakon di seluruh dunia disebabkan karakter serta populariti watak tersebut. Antara yang sempat mencuba nasib adalah pelakon Descendants , Dove Cameron.
Menurutnya, proses uji bakat berlangsung dengan agak lama. Malah, bekas bintang Disney ini juga mengatakan ia merupakan antara proses paling lama dan meresahkan yang pernah dia lalui. Cameron juga terkejut apabila diberitahu mengenai tempoh penggambaran Wicked yang mengambil masa bertahun-tahun.
*
Jadi, siapa yang sudah tidak sabar dengan filem fantasi hebat Wicked ini? Jika korang ingin menontonnya lebih awal pada 20 November nanti, #WayangRemaja kembali memberikan tiket tayangan perdana menerusi peraduan yang kami jalankan di platform Instagram Majalah Remaja. Jom sertai!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.