Berita

“What A Lame Excuse..” – Didakwa ‘Memerli’ Situasi Palestin, ZARA Tampil Beri Kenyataan

Share

Kempen koleksi terbaharu syarikat label fesyen terkemuka, Zara yang dilancarkan pada Ahad lalu ternyata mengundang kemarahan dan kritikan ramai susulan didakwa menyindir insiden genosid yang sedang berlaku di Palestin.

ARTIKEL BERKAITAN: Patut Dicontohi Selebriti Hollywood Lain! The Weeknd Derma RM11.65 Juta Bantuan Makanan Kepada Palestin

Kempen yang dikenali sebagai ‘The Jacket’ merupakan sebuah koleksi pakaian edisi terhad yang diperkenalkan oleh syarikat fesyen Sepanyol itu.

Melalui siri gambar kempen tersebut, model Kristen McMenamy yang memperagakan koleksi Zara Atelier terlihat memegang patung yang dibalut dengan kain putih, manakala dalam gambar seterusnya, seorang model berdiri dalam kotak kayu.

Ini seolah-olah memberikan indikasi bahawa koleksi foto itu diilhamkan oleh kehancuran yang berlaku di Palestin akibat perang yang berlaku baru-baru ini.

Setelah menerima kritikan ramai, Zara dilaporkan telah menghapuskan gambar tersebut, meskipun gambar-gambar lain dari kempen tersebut masih kekal di laman sosial rasmi mereka.

Baru-baru ini, pihak mereka turut mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu terbabit dan sekaligus memberi penjelasan dengan lebih teliti secara menyeluruh untuk pemahaman pelanggannya.

 “Selepas mendengar komen mengenai kempen terkini Zara Atelier “The Jacket”, kami ingin berkongsi perkara berikut dengan pelanggan kami.

“Kempen yang dirancang pada bulan Julai dan difoto pada bulan September ini mempersembahkan siri gambar patung yang belum siap di sebuah studio pematung, dan dicipta dengan tujuan tunggal untuk mempamerkan pakaian yang dibuat dengan seni.

“Malangnya, sesetengah pelanggan merasa terganggu dengan gambar-gambar tersebut, yang kini telah dikeluarkan, dan melihat sesuatu yang jauh daripada niat asal semasa pembuatannya.

“Zara menyesali kekeliruan tersebut dan kami ingin menjelaskan sekali lagi bahawa kami amat menghormati setiap pelanggan kami,” jelas pihak mereka menerusi perkongsian di laman Instagram sebentar tadi.

Namun, jelas sekali penjelasan yang diberikan tidak mencukupi untuk memadam api kemarahan para pelanggan yang masih merasakan pihak Zara tidak cukup sensitif dan bertimbang rasa dengan tragedi berdarah yang sedang dihadapi rakyat Palestin.

“Tiada permintaan maaf yang ikhlas di sini,” komen salah seorang warganet.

“Sesetengah pelanggan merasa terganggu? Ini bukan anda meminta maaf kepada teman lelaki anda. Tipulah kalau tiada seorang pun pekerja anda yang tidak perasan persamaan yang sangat tinggi terhadap genosid yang sedang berlaku menerusi gambar kempen tersebut! Ini bukan kenyataan yang mencukupi,” amuk pengguna lain.

“Mengolok-olok tragedi pembunuhan beramai-ramai termasuk bayi dan kanak-kanak bukanlah nilai seni artistik, tetapi sesuatu yang sangat kejam,” kata pelanggan lain.

Buat makluman, ini bukanlah kali pertama Zara terlibat dalam kontroversi membabitkan isu sensitif ini kerana sebelum ini, syarikat fesyen terkenal ini telah menjadi sasaran kemarahan selepas seorang wakil mereka didakwa membuat kenyataan retorik anti-Palestin.

Vanessa Perilman, Ketua Pereka Fesyen Wanita Zara, dituduh membuat kenyataan kontroversi tersebut sebagai respons terhadap entri pro-Palestin yang dimuat naik oleh seorang model, menyebabkan kecaman meluas.

BACA LAGI: Ahli Keluarga Sedang Hadapi Peperangan Di Gaza, Graduan Dari Palestin Ini Tetap Semangat Terima PhD Pada Hari Konvokesyen

KREDIT FOTO: Instagram ZARA

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Adriana Syaurah