Hiburan

Wheesung Ditemui Meninggal Dunia Di Kediamannya Pada Usia 43 Tahun

Share

Baru-baru ini, khabar duka sekali lagi menyelubungi dunia hiburan Korea Selatan apabila The Joongang melaporkan bahawa penyanyi solo sensasi, Wheesung atau nama sebenarnya Choi Wheesung telah ditemui meninggal dunia pada usia 43 tahun di kediamannya pada 10 Mac, semalam sekitar 6.29 petang.

Menurut satu kenyataan media, pihak berkuasa segera mengambil tindakan selepas menerima laporan daripada salah seorang ahli keluarga beliau.

Buat masa ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian, namun pihak berkuasa percaya Wheesung sudah menghembuskan nafas terakhir agak lama sebelum beliau ditemui.

Dalam pada itu, agensi pengurusan pelantun yang popular menerusi lagu Insomnia itu,  Ostrich Entertainment turut mengesahkan berita sedih ini melalui suatu kenyataan rasmi.

“Kami dengan berat hati ingin menyampaikan berita yang sangat menyedihkan ini. Pada 10 Mac, artis kami Wheesung telah meninggalkan kita semua. Beliau ditemui di kediamannya dalam keadaan jantung terhenti dan disahkan meninggal dunia”

“Semua artis dan staf di syarikat kami turut bersedih bersama keluarga yang ditinggalkan,” kata Ostrich Entertainment.

Mendiang Wheesung yang sebelum ini pernah bersuara mengenai keadaan kesihatan mental beliau.

“Kami juga ingin memohon agar tiada sebarang spekulasi atau penyebaran khabar angin demi menghormati keluarganya yang sedang berduka. Mohon doakan agar arwah dapat beristirahat dengan tenang,” jelas kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Wheesung dijadualkan bakal mengadakan konsert bersama penyanyi KCM pada 15 Mac ini. Namun seribu kali sayang, pemergiannya yang mengejutkan ini telah meninggalkan kesedihan mendalam di kalangan peminat dan industri muzik Korea.

Kami di Remaja mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga dan semua peminat Wheesung.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE